Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
TOK Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.
Nama lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863 M, di Kampung Bendang Daya, Patani.
Ayah beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.
Syeikh Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.
Diriwayatkan beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar. Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.
Kedua-dua kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.
Beberapa perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini, sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya kerana sebab-sebab tertentu.
Perang
Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.
Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.
Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.
Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.
Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.
Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.
Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.
Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.
Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).
Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?
Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.
Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.
Lailatul Qadar
Pada hari ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.
Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).
Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.
Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”
Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.
Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.
Tok Bendang Daya hulubalang Fathani Darus Salam
Posted by MarzukiWan Husein As-Sanawi Al-Fathani Hafiz pendiri Masjid Teluk Manok
Posted by MarzukiOleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
MASJID Teluk Manok di Patani, Thailand.
AKHIR-akhir ini berlaku perubahan besar dalam pelbagai jurusan pendidikan Islam di dunia Melayu, termasuk mula bercambah di tempat-tempat pendidikan menghafaz al-Quran. Banyak suara-suara sumbang yang hanya mengetahui dunia kini atau pergelutan di persekitarannya saja, lalu menuduh bahawa pendidikan Islam zaman dulu tidak menekankan penghafalan al-Quran dan hadis.
Saya berani memastikan pandangan yang sedemikian adalah satu pandangan yang sangat keliru. Sebagai contoh bahawa ilmu menghafaz al-Quran dan hadis berjalan sejak lama di dunia Melayu. Wan Husein al-Fathani adalah salah seorang daripada ulama silam yang hafaz al-Quran 30 puluh juzuk dan beribu-ribu hadis Nabi s.a.w. Beliau adalah moyang saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini bererti Wan Husein as-Sanawi al-Fathani lebih jauh mendahului Syeikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani.
Wan Husein as-Sanawi adalah adik- beradik dengan Syeikh Wan Senik al-Karisiqi (Kerisik), Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Fathani (datuk nenek Syeikh Ahmad al-Fathani) dan lain-lain. Walaupun pada mulanya ada orang meragukannya, termasuk saya sendiri, kerana terdapat pertikaian pendapat dengan salasilah keluarga besar ini dengan yang ditulis oleh Haji Nik Ishak Tikat, Kelantan, yang berasal dari Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Namun, setelah saya menemui tiga salasilah yang lebih tua daripada salasilah yang tersebut, insya-Allah telah saya tahqiqkan dan hanya segelintir daripadanya disebutkan dalam artikel ini.
Pertikaian salasilah antara satu dengan yang lainnya tidak saya bicarakan di sini, kerana telah saya tulis dalam kertas kerja berjudul ‘Majlis Tazkirah Tokoh dan Ulama Islam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani’ dan lain-lain terdahulu daripada ini.
*Asal-usul
Wan Husein as-Sanawi juga digelar Tok Masjid adalah termasuk salah seorang keturunan penyebar Islam yang awal datang ke dunia Melayu. Nama lengkapnya ialah Al-Allamah Al-Hafiz Wan Husein as-Sanawi al-Fathani bin Ali. Ali disebut juga Sultan Qanbul/Qunbul bin Manshur al-Laqihi. Manshur al-Laqihi nama yang sebenarnya ialah Saiyid Ahmad Samman al-Aidrus bin Saiyid Hakim.
Saiyid Hakim digelar orang Saiyid Kuning bin Saiyid Husein. Saiyid Husein digelar Sultan Pak Tani (maksudnya Sultan Patani). Ali@Sultan Qanbul/Qunbul dan terdapat beberapa nama selain ini, diriwayatkan bahawa wafat di Campa tahun 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjai Lima).
Dalam sebuah salasilah disebutkan bahawa daripada Wan Husein as-Sanawi dan adik- beradiknya adalah datuk nenek golongan ‘Wan’ dan ‘Nik’ di Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lainnya. Yang dimaksudkan dengan ‘as-Sanawi’ yang terdapat pada hujung nama Wan Husein ialah beliau berasal dari kampung dinamakan Kampung Sena.
Kampung Sena itu sangat besar dan luas, sekarang di dalamnya terdiri dari beberapa buah kampung, di antaranya; Sena Janjar, Bendang Daya, Tok Diwa, dan lain-lain.
Kampung Sena dibuka oleh datuk nenek keluarga ini ketika mereka mula-mula sampai dalam kerajaan Langkasuka yang ketika itu nama Patani belum dikenal sama sekali. Dari kampung tersebutlah asal-usul perkembangan Islam di Patani dan selanjutnya keluarga tersebut turut aktif menyebarkan Islam ke seluruh dunia Melayu bersama-sama dengan keturunan-keturunan penyebar Islam yang datang dari Tanah Arab lainnya.
Adik-beradik Wan Husein as-Sanawi al-Fathani yang saya catat dari pelbagai sumber, sama ada yang disepakati mahu pun yang masih pertikaian pendapat adalah sebagai berikut:
1. Wan Abdullah atau Sultan Umdatuddin atau Wan Abu atau Wan Bo Teri Teri atau Wan Bo saja. Beliau adalah Sultan Cam/Champa, tahun 1471 M - 1478 M.
2. Wan Husein as-Sanawi, yang diriwayatkan dalam artikel ini.
3. Wan Demali @ Wan Mali @ Wan Alimuddin. Terdapat sebuah salasilah yang menyebut bahawa beliaulah Laksamana Bentan.
4. Wan Hasan, beliau menyebarkan Islam di Bangkok.
5. Wan Jamal.
6. Wan Biru, adik-beradik yang perempuan.
7. Wan Senik adik-beradik dengan Wan Husein, sudah sahih kerana disebut oleh Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dalam sebuah salasilah, dikukuhkan dengan salasilah keluarga Teluk Manok dan catatan-catatan lain yang ada pada saya.
Dari nombor 1 sampai nombor 7 disebut oleh Pak De Duku. Pak De Duku, nama lengkapnya ialah Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir bin Yunus bin Abdur Rahman bin Wan Husein as-Sanawi al-Fathani, adalah keturunan yang kelima ulama yang diriwayatkan ini.
Saya memperoleh banyak maklumat daripada beliau. Sejak tahun 1978 hingga 1991 saya berulang-ulang kali ke rumah Pak De Duku (Haji Abdul Hamid) di Teluk Manok kerana mencatat banyak perkara tentang keluarga yang diriwayatkan ini.
8. Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Laqihi, saya adalah keturunan yang kelapan ulama ini, iaitu melalui jalur Syeikh Ahmad al-Fathani.
9. Maulana Abu Ishaq.
*Riwayat
Wan Husein as-Sanawi selain hafaz al-Quran 30 juzuk, sangat banyak hadis dan pelbagai jenis matan ilmu-ilmu Islam beliau juga berpengalaman dalam banyak bidang. Ilmu yang ada dalam sekujur tubuhnya bukanlah bersifat beku dan mati, tetapi adalah ilmu yang bersifat hidup sesuai dengan pergerakan fizikal tubuhnya.
Ilmu-ilmu yang dikuasai oleh Wan Husein as-Sanawi adalah seimbang dengan pengalamannya yang luas. Beliau berpengalaman dalam hidup cara berkhalwat, bersunyi diri tekun beribadat, juga berpengalaman dalam pengembaraan ke pelbagai penjuru bumi sejagat.
Wan Husein as-Sanawi pernah mengembara di pulau Jawa, pernah mengajar beberapa tahun di pulau Madura. Diriwayatkan juga bahawa beliau dan adik beradiknya bergaul mesra dengan masyarakat di pulau Sumbawa, sehingga ada pendapat yang menyebut Wan Husein as-Sanawi adalah berasal dari keturunan Arab yang telah lama datang ke pulau Sumbawa.
Dari pulau Sumbawa, pengembaraan keluarga tersebut termasuk Wan Husein as-Sanawi sendiri, meneruskan pengembaraan mereka ke negeri Cam atau Campa. Kerajaan Islam Cam itu adalah diasaskan oleh datuk nenek mereka yang berasal dari negeri Arab.
Setelah melalui proses yang lama melalui pantai-pantai dalam negeri India, persinggahan dan tempat tinggal terakhir mereka ialah dalam kerajaan Langkasuka. Proses yang lama pula setelah mereka membaur dengan masyarakat Melayu Langkasuka, maka terbentuklah Daulah Islam Fathani Darus Salam atau bagi umum mengenal sebutan Patani saja.
Dari Patani itulah mereka mengembara ke utara dengan maksud menyebarkan Islam di negeri China tetapi sebelum sampai ke negeri China mereka telah berhasil pula membentuk satu kerajaan Islam-Melayu yang dikenali dengan Kerajaan Cam.
Cita-cita mulai dari datuk nenek Wan Husein as-Sanawi untuk menyebarkan Islam ke negeri China berjalan terus sampailah ke zaman beliau. Bukan hanya itu saja, dari keturunan mereka juga telah menyebarkan Islam di Filipina, Brunei Darussalam dan akhirnya di Jawa. Beberapa orang di antara Wali Songo (Wali Sembilan) yang terkenal di Jawa adalah dari keluarga besar yang diriwayatkan ini.
*Masjid Teluk Manok
Semua riwayat adalah penting dicatat, namun hampir-hampir tidak ada orang yang tahu tentang peranan Wan Husein as-Sanawi dalam peranannya di dunia Melayu sejagat. Tidaklah berkelebihan kalau saya sebutkan di sini bahawa Wan Husein as-Sanawi ada peranan yang tersendiri dalam penyebaran Islam di dunia Melayu dan beliau juga ada peranan dalam pemerintahan Patani dan kerajaan Cam.
Setelah pengembaraan yang begitu jauh pada mulanya beliau menetap di Kampung Sena, tempat asal datuk neneknya, namun setelah adik- beradiknya bermuafakat maka mereka membahagi tugasan. Syeikh Wan Senik ditugaskan di Kerisik. Sebab itulah pada hujung nama beliau dalam salasilah ditulis al-Karisiqi.
Wan Husein as-Sanawi diberi tugas di Teluk Manok. Kampung yang beliau buka itu masih dikekalkan namanya sampai sekarang. Di Wadi Husein, Teluk Manok tersebutlah terdapat sebuah masjid yang digolongkan di antara salah sebuah masjid tua di Patani yang mempunyai kesan-kesan sejarah yang dikaitkan dengan Wan Husein al-Hafiz as-Sanawi, tokoh besar dunia Melayu serta yang masih terselubung dalam sekian banyak lembaran tulisan sejarah yang diseleweng dan dipalsukan oleh pihak-pihak tertentu.
Tentang tahun didirikan Masjid Teluk Manok itu, berbagai-bagai pendapat yang diberikan orang. Riwayat yang popular menjadi percakapan masyarakat ialah didirikan sejak 300 atau 400 tahun yang lalu. Saya datang menyelidik masjid itu berkali-kali sejak 1978 dan yang terakhir sekali pada Sabtu, 25 Mei 1991 M, pada waktu itulah saya terbaca di atas pintu masjid terdapat tahun 1266 H, bererti bersamaan dengan 1850 M.
Tidak terdapat sesuatu keterangan yang dimaksudkan dengan catatan 1266 H itu. Kemungkinan yang dimaksudkan adalah ketika memperbaiki masjid itu ataupun ketika menulis khat-khat indah yang terdapat di persekitaran tarikh di atas pintu itu. Jika kita hitung menurut tahun hijrah 1266 H itu hingga sekarang 1427 H bererti hanya 161 tahun saja. Ini adalah tidak sesuai dengan sejarah hidup Wan Husein as-Sanawi yang diperkirakan memang sudah lebih dari 300 tahun yang lalu.
Tarikh tersebut juga sangat jauh jaraknya dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa masjid tersebut didirikan pada 1619 M, pendapat lain 1621 M dan yang lain pula pada 1635 M. Tahun-tahun yang disebutkan ini, walaupun terjadi pertikaian pendapat, namun lebih menepati untuk dipegangi sebagai tahun berdirinya masjid itu jika dibandingkan pada 1266 H/1850 M yang tidak jelas maksudnya itu.
*Keturunan
Pertama sekali saya dengar cerita bahawa salasilah yang sangat penting tentang susur galur ulama Patani yang ada hubungannya dengan Teluk Manok diserahkan oleh Haji Ibrahim bin Daud bin Muhammad Shalih bin Abdullah bin Tengku Mahmud kepada Raja Perak. Yang menceritakan ialah Haji Abdul Hamid (Pak De Duku). Sungguhpun salasilah yang asli tidak saya peroleh tetapi saya sempat mencatat melalui Pak De Duku sejak 1978 M. Saya mencatatnya secara sedikit-sedikit, iaitu setiap kali pergi ke Teluk Manok hinggalah 1991 M.
Selain Pak De Duku, saya sempat pula menyalin salasilah tersebut tetapi bukan dari yang asli melainkan daripada salinan yang telah dijalankan oleh keluarga ini.
Pada beberapa tempat saya bandingkan pula dengan kitab-kitab yang dikarang oleh keturunan Wan Husein as-Sanawi, sebahagiannya menggunakan nama lengkap hingga sampai ke peringkat datuk.
Dalam catatan saya Wan Husein memperoleh enam orang anak iaitu; 1. Muhammad Shalih @ Tok Ci Gedung, makamnya di Jeringa. 2. Abdullah @ Tok Ci Teluk Manok. 3. Abdus Shamad. 4. Abdul Karim @ Tok Ci Bukit Bunga, beliau ini seorang hafiz, makamnya di Bukit Bunga, Jeringa. 5. Abdur Rahman, makamnya di Teluk Manok. 6. Fathimah.
Sehingga artikel ini ditulis, masih ramai keturunan mereka yang menjadi ulama ataupun tokoh penting dan bertebaran di pelbagai tempat.
0 comments »
15
Dec
Syeikh Wan Ali Al-Fathani penyebar Thariqat Sammaniyah
Posted
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
SYEIKH Uthman Jalaludin Penanti (kiri) dan penulis sedang membicarakan sanad ilmu Islam dan salasilah ulama Alam Melayu.
DARI minggu ke minggu nampaknya para peminat rencana riwayat ulama dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia terus bertambah.
Saya belum mengetahui berapa jumlah pembaca sebenarnya. Yang pasti, ruangan ini diikuti oleh pelbagai golongan. Baru-baru ini, saya mendapat emel daripada seorang pelajar yang mengaku berumur 14 tahun, namanya Luqman bin Ahmad Rangkuti.
Saya ucapkan terima kasih atas perhatian anakanda, insya-Allah emelnya akan saya ayan pada waktu yang lain.
Pada malam hari, tarikh 27 November 2006, seorang ulama dari Mekah, berasal dari Seberang Perai, datang ke tempat saya. Beliau ialah Tuan Guru Haji Saleh bin Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. Tujuan utama beliau menemui saya adalah berhasrat untuk menyelesaikan salasilah keluarga ulama yang ada hubungan dengan beliau sendiri. Sangat ramai keluarga tersebut yang menjadi ulama dan tokoh dalam pelbagai bidang.
Tuan Guru Haji Saleh bin Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti adalah saudara tiga pupu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi. Pada siang harinya ulama yang dikasihi tersebut secara kekeluargaan berhasil bertemu Yang Amat Berhormat itu. Ulama yang saya anggap termasuk salah seorang guru saya itu, nampaknya berjuang dengan penuh kesungguhan kerana pada malam berikutnya sebelum pulang ke Mekah beliau datang sekali lagi ke tempat saya (malam hari tarikh 28 November 2006).
Dalam pertemuan dua kali itu menjelaskan sejarah ulama yang dibicarakan dalam artikel ini, Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani adalah moyang kepada Tuan Guru Haji Saleh.
Sebelum memasuki riwayat Syeikh Wan Ali al-Fathani di sini saya dahulukan segelintir hubungan kekeluargaan dan keturunan ulama yang diriwayatkan ini. Sebagaimana telah diketahui bahawa adik-beradik Syeikh Wan Ali al-Fathani ialah Syeikh Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani yang menjalankan aktivitinya di Besut, Terengganu. Menurut Tuan Guru Haji Saleh Penanti, bahawa anak perempuan Syeikh Wan Ali al-Fathani bernama Hajah Wan Fathimah berkahwin dengan Syeikh Muhammad Kabir.
Perkahwinan itu memperoleh anak, Hajah Wan Shafiyah dan Haji Wan Ali. Hajah Wan Shafiyah berkahwin dengan Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani. Perkahwinan tersebut memperoleh tujuh orang anak iaitu; Sarah, Maryam, Fathmah, Salmah, Halimah, Abdullah, dan Asmah (Tuan Guru Haji Saleh Penanti tidak menyebut nama). Sarah herkahwin dengan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti, di antara anaknya ialah; Tuan Guru Haji Saleh Penanti (yang didengar ceritanya pada tarikh tersebut di atas).
Perlu saya catat dan peringatkan bahawa dalam keluarga ini terlalu banyak nama yang hampir serupa. Oleh itu sesiapa yang akan memetik tulisan ini di belakang hari perlu berhati-hati dan jika perlu menyebutkan nama mereka secara lengkap. Bahawa Sarah binti Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin yang berkahwin dengan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti tersebut di atas adalah lain daripada Sara binti Haji Muhammad Thahir bin Kamaluddin al-Fathani. Sara binti Haji Muhammad Thahir al-Fathani adalah isteri Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani. Sara ini adalah nenek kepada Sarah. Sara pula adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Thahir bin Kamaluddin al-Fathani. Haji Ibrahim atau Pak Him ini adalah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang, tahun 1959 - 1961) dan Haji Thahir (Kadi Pulau Pinang di Balik Pulau). Catatan pada perenggan ini adalah merupakan penjelasan artikel yang pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004, dengan tujuan jangan terjadi kekeliruan kerana beberapa nama dalam keluarga yang serupa atau hampir serupa.
Syeikh Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur, ayah pada Syeikh Jalaluddin, adalah adik-beradik dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur adalah orang yang sama dengan Syeikh Wan Abdur Rahman al-Kalantani, yang ketika mudanya tinggal di Lorong Tok Semian Kelantan. Beliau juga digelar dengan Tok Semian. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur berkahwin dengan Hajah Wan Zainab binti Wan Abdul Qadir, anak perempuannya bernama Hajah Wan Kaltsum, menjadi isteri Tuan Tabal al-Kalantani. Hajah Wan Kaltsum adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan, dapat disemak dalam artikel tarikh 27 September 2004. Tuan Tabal al-Kalantani pula mempunyai ramai adik-beradik, oleh itu juga ada hubungan kekeluargaan dengan para ulama Seberang Perai yang diriwayatkan ini dan termasuk juga dengan Syeikh Abdullah Abdus Shamad al-Filfulani. Mengenai ini akan dibicarakan pada kesempatan yang lain.
Syeikh Wan Ali al-Fathani, yang tersebut pada judul, adalah bersabit kekeluargaan yang dekat dengan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, beliau termasuk pewaris ulama itu. Daripada dua buah naskhah peninggalan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok terdapat catatan, iaitu yang pertama manuskrip berjudul Al-Wasail fi Ma'rifah al-Awail karya Syeikh Jalaluddin as-Sayuthi. Di bahagian kulit muka terdapat catatan dalam bahasa Arab yang terjemahannya, "Kitab wakaf ini bagi Syeikh Abdullah ibnu al-Marhum Abdur Rahman Pauh Bok di Mekah al-Musyarrafah, Nazir Syeikh Ali bin al-Marhum Ishaq al-Fathani".
Tercatat pula tahun 1270 H (kira-kira bersamaan tahun 1855 M). Yang kedua, manuskrip berjudul Risalah fi Furu' an-Naqliyah karya Al-Allamah Maulana asy-Syeikh Ibrahim Barbari ar-Rumi al-Hanafi. Terdapat juga nama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Wan Ali bin Ishaq al-Fathani." Menurut riwayat Tuan Guru Haji Saleh Penanti surat rumah milik Wan Ali al-Fathani di Mekah ada dalam simpanan beliau. Selain mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok, Syeikh Wan Ali al-Fathani ada hubungan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik hubungan kekeluargaan mahupun hubungan keilmuan.
Pendidikan
Syeikh Wan Ali al-Fathani mendapat pendidikan asas di Pondok Pauh Bok, Patani. Barangkali dalam masa yang sama beliau memondok di pondok yang tersebut itu bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Atau sekurang-kurangnya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai ketua tela'ahnya dalam sistem pengajian pondok (tutor menurut istilah akademik sekarang). Daripada catatan Syeikh Wan Ali al-Fathani sendiri ditemui bahawa gurunya adalah Syeikh Ibrahim Barbari ar-Rumi al-Hanafi.
Kemungkinan ulama yang tersebut adalah sahabat gurunya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani yang tersebut. Daripada sebuah manuskrip karyanya dan sama dengan yang tersebut dalam Kaifiyat Khatam Quran bahawa Syeikh Wan Ali al-Fathani menerima bai'ah daripada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani al-Jawi. Penerimaan bai'ah dilakukan di Mekah.
Di Mekah pada zaman itu terdapat dua orang Syeikh Mursyid Thariqat Sammaniyah yang berasal dari Patani, iaitu selain Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani ialah Syeikh Abdur Rahman @ Tok Semian al-Kalantani bin Abdul Ghafur al-Fathani. Murid Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Fathani bernama Syeikh Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani yang berasal dari Raman. Syeikh Wan Ali al-Fathani dan Syeikh Ibrahim al-Fathani kedua-duanya adalah bersahabat dan menerima tawajjuh Thariqat Sammaniyah pada 1243 H/1828 M di Jabal Suaidan dekat Syu'ib Ali. Syeikh Muhammad Shalih bin
Abdur Rahman Pauh Bok menerima thariqat itu daripada Syeikh Abul Hasan. Syeikh Abul Hasan menerima daripada Maulana Syeikh Hasib, dia menerima daripada bapanya dan daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.
Penulisan
Karya Syeikh Wan Ali al-Fathani tidak banyak dijumpai, yang dapat dipastikan hanya sebuah saja, iaitu merupakan majmuk, yang di dalamnya terkumpul pelbagai doa dan ajaran Thariqat Sammaniyah, Thariqat Syathariyah dan Thariqat Khalwatiyah. Dipercayai berasal daripada karya Syeikh Wan Ali al-Fathani itulah akhirnya terdapat pelbagai versi yang dinamakan Kaifiyat Khatam Quran. Yang pernah dicetak dan tersebar secara meluas di seluruh dunia Melayu. Kitab kecil itu tidak terdapat nama pengarangnya secara pasti tetapi dalam percakapan masyarakat dan beberapa penulis silam dunia Melayu memastikan Kaifiyat Khatam Quran itu adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beberapa manuskrip Kaifiyat Khatam Quran telah diketemukan. Walaupun kandungannya sama tetapi judul dan nama pengarang berbeza-beza. Ada judul diberikan dengan Silsilah Ratib dan Kaifiyat nama pengarangnya disebut Ibrahim bin Muhammad Usnin al-Fathani, yang diselesaikan pada 1243 H/1827 M.
Manuskrip karya Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani itu dari segi ilmu filologi dirasakan perlu dibandingkan dengan karya Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani terutama sekali pada mukadimah dan Silsilah Thariqat Sammaniyah. Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani, menulis, "Sanya telah hamba, Ibrahim ibnu Haji Muhammad Usnin Fathani Raman daerah Kampung Cabak, mengambil talqin zikir daripada Syeikh Abdur Rahman ibnu Abdul Ghafur pada sanah 1243 pada Jabal Suaidan hampir Syu'ib Ali wa Maulid an-Nabi daripada Syeikhnya Ibrahim ibnu Abdur Rasyid al-Maduri (Madura, pen:) ...".
Syeikh Wan Ali al-Fathani juga menulis, "Maka inilah silsilah dan kaifiyatnya bagi Wali Allah yang terlebih takut akan Allah Taala, Quthub ar-Rabbani dan Arif Yang Shamadani iaitu Syeikh kita Maulana asy-Syeikh Muhammad anak Syeikh Abdul Karim as-Samman. Saya telah mengambil talkin zikir, faqir ilallah Taala, Ali bin Ishaq al-Jawi al-Fathani, daripada Syeikhnya Muhammad Shalih bin Abdur Rahman al-Jawi al-Fathani, Pauh Bok ...".
Jika kita banding salasilah, sebelum bertemu pada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman juga terdapat perbezaan. Pada karya Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani sambungannya bahawa Ibrahim bin Abdur Rasyid al-Maduri, dia menerima bai'ah daripada Syeikh Muhammad. Syeikh Muhammad menerima daripada Syeikh Utsman. Syeikh Utsman menerima daripada Syeikhnya dan mertuanya, Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.
Ada pun pada naskhah Syeikh Wan Ali al-Fathani, sambungan salasilah bahawa Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok menerima bai'ah daripada Syeikh Abul Hasan. Syeikh Abul Hasan menerima daripada Maulana Syeikh Hasib. Maulana Syeikh Hasib menerima daripada bapanya tanpa menyebut nama, sesudah itu baru penerimaan bai’ah daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani.
Naskhah karya Syeikh Wan Ali al-Fathani setelah membicarakan salasilah yang bersambung kepada Nabi Muhammad s.a.w., Malaikat Jibril Alaihis Salam, lalu mengemukakan kaedah berzikir menurut Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah.
Ibnu Sirin - Muhammad bin Sirin Rahimahullah
Posted by MarzukiKelahiran dan kehidupan
Muhammad bin Sirin dilahirkan pada zaman pemerintahan Khalifah Othman bin Affan r.a. Bapa beliau (Sirin) adalah merupakan seorang hamba yang dimiliki oleh Anas bin Malik seorang sahabat yang sangat terhormat, sebagai habuan di atas kemenangan pertempuran (Ain At-Tamr) iaitu nama sebuah negeri yang terletak di sebelah barat bandar Kufah yang berjaya dibuka oleh Khalid bin Al-Walid pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. Kemudian dia dimerdekakan semula oleh Anas.
Ibu beliau yang bernama Safiah adalah merupakan hamba perempuan kepada Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang akhirnya dia juga turut dimerdekakan. Bapa dan ibu beliau terkenal sebagai orang yang soleh dan memiliki budi pekerti yang baik.
Kehidupan menuntut ilmu
Ibnu Sirin dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang dikelilingi dengan sifat-sifat takwa dan warak. Beliau sempat bergaul dengan sebilangan besar para sahabat r.a. seperti:
* Zaid bin Thabit.
* Imran bin Al-Husain.
* Anas bin Malik.
* Abu Hurairah.
* Abdullah bin Az-Zubair.
* Abdullah bin Abbas.
* Abdullah bin Umar.
Muhammad bin Sirin menemui para sahabat tersebut di mana beliau menimba ilmu, ilmu fekah dan meriwayatkan hadis Rasulullah SAW daripada mereka.
Kemasyhuran
Muhammad bin Sirin telah terkenal, nama baik beliau telah tersebar, kemasyhuran beliau mendapat sanjungan di seluruh negara dan beliau juga dikenali sebagai seorang yang alim serta warak.
Beliau mempunyai pelbagai cerita yang terkenal sebagaimana yang pernah berlaku bersama dengan pemerintah kerajaan Bani Umaiyyah di mana beliau mampu menyampaikan kebenaran secara terbuka serta dapat memberi nasihat ikhlas kerana Allah dan Rasul-Nya.
Pernah suatu ketika beliau ditanya oleh Umar bin Hubairah gabenor kerajaan Bani Umaiyyah ke Iraq, “Bagaimanakah keadaan penduduk bandar kamu ketika kamu meninggalkan mereka wahai Abu Bakar (nama panggilan kepada Ibnu Sirin)?”
Lalu Muhammad bin Sirin menjawab, “Aku meninggalkan mereka pada masa kezaliman berlaku secara berleluasa sedangkan kamu tidak menghiraukannya.” Lantas anak saudara beliau menyinggung beliau dengan menggunakan bahunya. Selepas itu beliau menoleh kepada anak saudaranya dengan berkata, “Bukan kamu yang ditanya tetapi aku yang ditanya. Perkara tersebut adalah merupakan suatu penyaksian dan sesiapa yang menyembunyikannya dia akan berdosa.”
Setelah itu Ibnu Hubairah menghulurkan sesuatu pemberian kepada beliau tetapi beliau menolak. Kemudian anak saudara beliau menegur tindakan beliau dengan berkata, “Kenapa kamu tidak mahu menerima pemberian daripada gabenor?”
Beliau menjawab, “Dia memberikan kepada aku kerana dia menganggap aku seorang yang baik, jadi sekiranya aku memang tergolong dari kalangan orang yang baik, tidak sepatutnya aku menerima pemberian tersebut tetapi jika sebaliknya, lebih baik lagi aku tidak menerimanya.”
Kewarakan
Di antara kewarakan Muhammad bin Sirin rahimahullah ialah beliau pernah mendengar seseorang mencaci Al-Hajjaj selepas Al-Hajjaj meninggal dunia, kemudian beliau berkata kepada orang tersebut, “Hei! Cukuplah kamu mencacinya, dia telah kembali kepada Tuhannya, nanti apabila kamu dihadapkan kepada Allah, kamu akan dapati dosa yang paling kecil yang pernah kamu lakukan di dunia ini akan menjadi dosa yang paling besar kepada kamu lebih besar dari dosa besar yang pernah dilakukan oleh Al-Hajjaj. Pada hari tersebut kamu berdua memiliki urusan yang memadai untuk menjadikan kamu berdua sibuk dengan urusan masing-masing. Ketahuilah bahawa Allah SAW akan menjatuhkan hukuman qisas kepada Al-Hajjaj di atas kezaliman yang pernah dia lakukan terhadap orang lain sebagaimana Allah SAW juga akan menjatuhkan hukuman qisas kepada orang-orang yang menzalimi Al-Hajjaj. Oleh yang demikian, selepas ini janganlah kamu menyibukkan diri kamu untuk mencela seseorang.”
Allah telah mengurniakan kepada Ibnu Sirin sifat yang baik dan mudah diterima oleh orang lain. Apabila orang ramai melihat beliau berada di pasar sedangkan mereka tenggelam di dalam kelalaian, mereka terus berhati-hati serta berzikir kepada Allah dengan bertahlil (mengucapkan La Ilaaha Illallah) dan bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar).
Beliau mempunyai pusat perniagaan dan berurusan jual-beli di pasar, apabila pulang ke rumah pada waktu malam beliau melakukan qiamullail, membaca Al-Quran dan menangis.
Beliau adalah merupakan seorang yang warak di dalam perniagaan beliau sehingga pernah berlaku pada suatu ketika beliau membeli minyak dengan harga 40,000 dengan pembayaran yang akan dijelaskan kemudiannya. Apabila beliau membuka salah satu bekas yang berisi minyak, tiba-tiba beliau dapati di dalam bekas tersebut terdapat seekor tikus yang mati dan telah reput. Kemudian beliau terlintas di dalam hati dengan mengatakan, “Minyak ini semuanya dihasilkan dari satu pemerah serta dikumpulkan di satu tempat dan najis ini bukan hanya melibatkan minyak yang berada di dalam bekas ini sahaja. Sekiranya aku mengembalikan minyak yang mempunyai keaiban ini kepada penjual, kemungkinan dia akan menjualnya semula kepada orang lain.” Lalu dia menuangkan kesemua minyak tersebut.
Pujian ulama
Muwarraq Al-'Ijli berkata, “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih fakih di dalam kewarakannya dan aku tidak pernah melihat seorang yang lebih warak di dalam kefakihannya melebihi Muhammad bin Sirin.”
Muhammad bin Sirin meninggal dunia selepas berumur menjangkau 77 tahun, semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.
Kiai Muhammad Hairawi
Posted by MarzukiUlama yang diperkenalkan ini merupakan anak kepada seorang ulama Jawa yang sangat dikenali di Selangor iaitu Kiai Muhammad Dahlan bin Kiai Hassan al-Minhaj Perumpung. Mengenai Kiai Dahlan tersebut pernah dibicarakan dalam ruangan ini pada 4 April 2005 dengan judul Imam Muhammad Dahlan: Ulama Jawa Termasyhur Di Selangor.
Penulisan mengenai tokoh ulama ini pula adalah berdasarkan kertas kerja yang berjudul Peranan dan sumbangan Kiai Muhammad Hairawi daripada hasil kajian pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Ahmad Yunus Mohd. Noor dan Ahmad Dahlan Salleh.
Tidak semua maklumat-maklumat dalam penulisan kertas kerja tersebut dibicarakan. Ruangan ini hanya memetik beberapa perkara sahaja mengenai ulama tersebut yang begitu dikenali dengan kegigihan beliau untuk membina kemajuan pengajian pondok kepada masyarakat pada zamannya.
Antara yang dibicarakan berdasarkan kertas kerja tersebut adalah sejarah hidup beliau, penubuhan pondok yang asalnya ditubuhkan oleh ayahnya serta peringkat penubuhan pondok tersebut. Mengenai perkara-perkara lain yang tidak dibicarakan adalah berkaitan perkembangan pondok Kiai Hairawi, yang meliputi perkembangan dari segi sistem pelajaran, jenis-jenis kitab yang dibaca, sumber kewangan pondok dan sebagainya. Maklumat-maklumat yang berkaitan kertas kerja tersebut dapat dirujuk melalui buku terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang berjudul Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008.
Sejarah Hidup
Nama penuh beliau ialah Kiai Muhammad Hairawi bin Haji Dahlan, dan dilahirkan di Jalan Pulai Kampung Kanchong Darat pada 1935. Sejak kecil, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama melalui ayahnya sendiri. Disebabkan minat yang mendalam dan juga galakan dari ayahnya sendiri, maka beliau keluar mengaji di beberapa pondok-pondok lain untuk menjadi seorang yang alim dalam kitab-kitab agama.
Pondok awal yang beliau mengaji ialah Pondok Asrama Haji Hussin Batu 1, Sijangkang, Klang dari tahun 1951 hingga 1954. Di pondok tersebut beliau mempelajari ilmu linguistik Arab dan ilmu-ilmu agama meliputi fiqh, tauhid, akhlak hadits, tafsir, tasawuf dan sebagainya.
Antara faktor yang menyebabkan beliau memilih pondok yang diasaskan oleh Kiai Hussin tersebut sebagai guru pondok yang awal adalah kerana Kiai Hussin merupakan seorang yang warak dan mendapat pendidikan pondok di Jawa serta hafiz al-Quran. Tambahan pula Kiai Hussin adalah abang ipar beliau.
Seterusnya pada 1957 beliau meneruskan pengajian ke Pondok Timoh, Perak untuk beberapa tahun, kemudian diteruskan ke Pondok Rungkup, Bagan Datok, Perak dan berguru dengan Kiai Munir, seorang yang terkenal di Perak sehingga diakui sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.
Beberapa tahun di Pondok Rungkup tersebut, beliau berpindah pula ke Pondok Sungai Tiang, Perak dan berguru pula dengan Kiai Anuar. Terakhirnya beliau mengaji di Pondok Kiai Khalil Batu 6 Bukit Naga, Klang sehingga awal 1961.
Setelah itu, pada 1961 beliau kembali ke kampung asalnya di Jalan Pulai Kampung Kanchong Darat. Pada tahun tersebut juga, beliau mendirikan rumah tangga dengan Siti Zaharah binti Surur, dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.
Sekembali ke kampung halaman, beliau telah mengambil tugas ayahnya bagi mengembangkan ilmu-ilmu agama yang terhenti sejak 1947 disebabkan kewafatan Kiai Muhammad Dahlan. Di awalnya, beliau hanya mengajar di rumah, setelah semakin ramai pelajarnya, beliau berunding dengan orang-orang kampung untuk mendirikan pondok. Setelah pondok tersebut dibina, maka beliau mengajar di pondok mengikut sistem pondok yang pernah beliau lalui.
Sebagai salah seorang anggota masyarakat kampung, beliau tidak hanya menghabiskan masanya dengan kitab-kitab sahaja, sebaliknya beliau juga bekerja di kebunnya sendiri seperti menoreh getah pada waktu pagi, mengambil upah menjaga kedai orang, membersihkan kebun dan sebagainya.
Beliau bukan sahaja mengajar pelajar-pelajar pondok sahaja tetapi juga kepada masyarakat setempat, umpamanya pada hari Jumaat petang selepas Asar dan hari Rabu selepas Zuhur, Kiai Hairawi akan mengajar orang kampungnya pelajaran tafsir dan kewajipan berumah tangga. Pada malam Rabu, Kiai Hairawi juga mengajar di surau Kampung Kanchong Tengah, manakala pada malam Khamis pula mengajar masyarakat kampung di Masjid Jamek Kanchong Darat.
Penubuhan Pondok Kiai Muhammad Hairawi
Pondok Kiai Hairawi dianggap sebagai satu warisan institusi pendidikan agama yang telah diasaskan oleh ayahnya pada 1925 di Kampung Kanchong Tengah. Pengajian yang diajarkan oleh Kiai Dahlan berakhir dengan kewafatan beliau pada 1947.
Setelah itu pada 1955, tempatnya diganti oleh seorang Kiai dari Jawa, Indonesia yang bernama Kiai Abdul Salam yang mengajar ilmu-ilmu agama dalam sistem yang sama sehingga 1956. Pada tahun tersebut pula, pengajian terhenti lagi disebabkan kewafatan Kiai Abdul Salam.
Pengajian pondok dalam erti kata yang telah sempurna dan tersusun serta setara dengan pengajian di pondok-pondok di negeri Selangor hanya berlaku pada 1961, apabila Kiai Hairawi pulang ke kampungnya daripada mempelajari ilmu-ilmu agama secara pondok. Pada ketika itulah pondok mula berkembang penuntutnya, juga bukan hanya terdiri dari golongan tua, malah para belia yang tinggal menetap di pondok yang dibina. Malah kelahiran pondok tersebut tetap utuh hingga ke hari ini walaupun sambutan tidak berapa menggalakkan.
Penutup
Kiai Hairawi dianggap sebagai seorang ulama yang gigih berusaha dalam mendidik dan membimbing generasi muda. Keikhlasan beliau tersebut adalah untuk membentuk peribadi Muslim sejati ke arah penghayatan Islam yang sebenar.
Beliau berjaya memberi sumbangan yang besar dan tidak ternilai kepada masyarakat zamannya. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau adalah tokoh ulama dan pendidik yang begitu ikhlas dalam perjuangan Islam hingga akhir hayatnya.
sumber: utusan malaysia Seguir leyendo...
Kiai Khalil Abu Ammar
Posted by MarzukiGuru Kiai Khalil Ammar, Hadrutusy Sheikh Kiai Haji Hasyim Asy’ari juga merupakan pendiri pondok Tebu Irent, Jawa Timur.
RUANGAN kali ini masih lagi membicarakan tokoh-tokoh ulama Selangor, ekoran daripada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008, yang diadakan pada 22 November, baru-baru ini.
Program adalah anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Hasil dari seminar tersebut, dilihat ramai lagi ulama-ulama Selangor yang perlu diketengahkan dan dibicarakan kepada masyarakat umum.
Tokoh ulama yang dibicarakan pada kali ini ialah Kiai Khalil Ibnu Abu Ammar. Tokoh ulama tersebut telah ditulis dan dibentangkan oleh Ustaz Mahfuz Muhammad al-Khalil dalam kertas kerjanya yang berjudul, 'Kiai Khalil Ibnu Abu Ammar Dalam Lipatan Sejarah Perkembangan Ilmu di Selangor Darul Ehsan.’
Keseluruhan maklumat-maklumat mengenai ulama yang dibicarakan ini adalah dipetik daripada penulisan pembentang seminar tersebut. Antara yang dipetik daripada kertas kerja tersebut yang dimuatkan dalam ruangan ini adalah mengenai latar belakang kelahiran, pendidikan awal, karya penulisan dan kewafatan beliau.
Latar belakang kelahiran
Nama beliau ialah Ma'sum bin Muzayyin dan berasal dari Lasem Jawa Tengah, Indonesia. Lasem dikenali sebagai Tiongkok kecil kerana merupakan kota awal pendaratan orang Tionghoa di tanah Jawa. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1990an, namun tanggal kelahiran beliau tidak dapat dipastikan secara tepat.
Penukaran nama kepada Muhammad Khalil adalah kerana mengambil tabarruk guru yang dikasihinya yang bernama Kiai Khalil Bengkalan yang berasal dari Pulau Madura Jawa Timur.
Maka masyhurlah nama beliau di Malaya pada ketika itu dengan nama Kiai Khalil Bin Abu Ammar. Sementara ayahnya iaitu Kiyai Muzayyin, menukar nama kepada Kiai Abu Ammar selepas menunaikan haji di Mekah al-Mukarramah.
Ini kerana telah menjadi adat masyarakat Jawa akan menukar nama yang baru setelah menunaikan haji. Ia juga berkemungkinan tabarruk nama panggilan baru dengan tanah suci Mekah yang penuh barakah.
Pendidikan awal
Beliau mula belajar di Pesantren Rembang dan kemudian berpindah ke Pesantren Pati, dan akhir sekali di Tebu Ireng Jombang Jawa Timur. Dikatakan pada awal pengajiannya, beliau selalu cuai dalam belajar. Sikap beliau tersebut sampai kepada pengetahuan bapanya, lalu beliau dipanggil pulang dan diserahkan tugas memelihara kambing ternakan.
Setelah melalui tugasan tersebut, maka beliau menyedari bahawa peritnya sebagai penggembala kambing. Ekoran itu, beliau memohon kepada ayahnya untuk kembali meneruskan pembelajaran di pondok.
Di Pondok Tebu Ireng , beliau telah berguru dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Kiai Hasyim Asy'ari adalah seorang ulama terkenal di Indonesia dan merupakan salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama (NU).
Di samping itu, Kiai Khalil turut berguru dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura, iaitu ulama yang diambil tabarruk namanya.
Kiai Khalil Bengkalan/Madura merupakan guru kepada Kiai Hasyim Asy'ari sewaktu beliau belajar di daerah Madura. Namun terjadi satu peristiwa pelik di mana Kiai Khalil Bengkalan datang untuk berguru dengan bekas anak muridnya di Tebu Ireng. Puas ditolak namun Kiai Khalil Bengkalan tetap dengan pendiriannya untuk berguru dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Akhirnya permintaannya itu dipersetujui beliau. Kiai Khalil Bengkalan/ Madura adalah seorang yang mahir dalam pelbagai ilmu, terutama dalam ilmu Nahu, Sorof, Balaghah, Fiqh dan lain-lain.
Hasil perguruan ulama yang dibicarakan ini dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura tersebut, beliau mempunyai kemahiran yang agak luar biasa dalam ilmu nahu bahasa Arab. Antara kitab yang menjadi kebiasaan dalam kelasnya ialah kitab Alfiah. Hal ini turut diperakui sendiri oleh Sheikh Mahmud al-Bukhari, yang menyatakan bahawa kemahirannya mendatangkan syahid dalam masalah nahu Arab, sehingga digelar sebagai Khalil Imran.
Menurut Ustaz Ahmad Mukhit, iaitu Mu'allim Indra Wangsa, menyatakan bahawa Kiai Khalil belajar hanya tiga tahun sahaja. Namun dalam masa tersebut beliau dikurung oleh gurunya dan menghabiskan seluruh masanya untuk mempelajari pelbagai ilmu. Dikatakan beliau tidak tidur sepanjang malam untuk mentelaah kitab-kitab sehingga menjelang Subuh. Bahkan, beliau juga dikatakan mendapat ilmu secara ladunni.
Kiai Ma’sum bin Muzayyin @ Kiai Khalil bin Abu Ammar
Karya penulisan
Kiai Khalil bin Abu Ammar juga menghasilkan karya-karya penulisan yang banyak. Boleh dikatakan hampir kesemua karya penulisan beliau adalah berasal daripada tulisan tangan beliau sendiri.
Berdasarkan penemuan karya penulisan tersebut, dilihat beliau banyak menghasilkan karya-karya dalam bidang-bidang tertentu iaitu ilmu nahu bahasa Arab, ilmu Falak, ilmu Qawa'id Fiqh dan sebagainya.
Kewafatan
Ketika berusia lebih 70 tahun, beliau kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun 1978 selepas menunaikan haji bersama isteri, Nyai Salbiah dan anak perempuan mereka, Hajah Sofiyyah di Mekah. Jasadnya telah disembahyangkan di hadapan Kaabah dan dikebumikan di perkuburan Ma'la.
Penutup
Disebabkan kepadatan ruangan ini, maka banyak lagi maklumat-maklumat yang terdapat dalam kertas kerja tersebut tidak dapat dibicarakan selanjutnya. Namun, maklumat-maklumat lainnya boleh diperoleh dengan merujuk kertas kerja tersebut yang dihimpunkan dalam satu buku dengan judul Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008, terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
sumber: utusan malaysia Seguir leyendo...
Kiai Haji Husain Haji Abbas Pendiri pondok di Sijangkang
Posted by MarzukiARTIKEL ini masih membicarakan tokoh-tokoh ulama Selangor yang tiada dalam koleksi penyelidikan penulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah. Disebabkan ruangan ini juga mengkhususkan pengenalan kepada tokoh-tokoh ulama Melayu Nusantara, dilihat adalah wajar untuk mengetengahkan dan memperkenalkan ulama-ulama tersebut secara meluas.
Dalam ruangan yang lepas, telah dibicarakan bahawa terdapat lapan tokoh ulama Selangor yang tidak dibicarakan lagi dan memerlukan ruangan yang khusus. Oleh itu, ulama yang diperkenalkan ini adalah salah seorang daripadanya yang juga antara ulama Jawa yang terkenal di Selangor.
Tokoh ulama yang dibicarakan ini adalah hasil penyelidikan daripada salah seorang pembentang seminar, iaitu Ustaz Khafidz Soroni, merupakan pensyarah Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan diberi judul Kiai Haji Husain Bin Haji Abbas: Tokoh Ulama Masyarakat Jawa di Selangor.
Sumber penyelidikan terhadap ulama ini juga adalah berdasarkan temu bual pembentang kertas kerja dengan anak ketiga beliau iaitu Haji Muhammad Mahin Haji Husain yang juga pernah berguru dan menadah kitab dengan bapanya sendiri.
Antara perkara yang disentuh oleh pembentang dalam kertas kerjanya adalah mengenai nama, kelahiran, keturunan, pembelajaran dan guru-guru beliau, pondok pengajian, kebolehan beliau sebagai hafiz al-Quran, ahli Falak dan penulisan, sifat-sifat beliau, kisah-kisah karamah beliau, kewafatan dan rumah tangga beliau. Namun dalam ruangan ini hanya memetik beberapa perkara sahaja yang boleh dijadikan sebagai kajian awal mengenai ulama ini.
Nama dan kelahiran
Nama beliau ialah Kiai Haji Husain bin Haji Abbas @ Abdullah Kafi bin Qaribun. Adakalanya beliau meletakkan nama jolokan (kunyah) ‘Abu Bakar’ di awal namanya kerana anak sulungnya adalah seorang perempuan, sebagaimana adat kebiasaan di kalangan orang-orang Arab, dan adakalanya diletakkan gelaran ‘al-sijankani’ di hujung namanya sebagai nisbah kepada kampung Sijangkang.
Beliau dianggarkan lahir pada tahun 1918 atau 1919, kerana beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1981 dalam usia kira-kira 62 atau 63 tahun. Salasilah keturunan beliau tidak dapat dipastikan dengan jelas, kerana beliau tidak suka menceritakan tentang nasab atau asal-usul keturunannya.
Namun diriwayatkan bahawa makam datuknya iaitu Kiai Qaribun yang terletak di Yogjakarta, Indonesia adalah di kawasan perkuburan orang-orang besar dan kuburnya agak berlainan dengan kubur orang biasa kerana lebih besar dan mempunyai ukiran-ukiran yang indah.
Guru-guru
Sejak kecilnya lagi beliau amat minat dalam menimba ilmu pengetahuan, sehingga menguasai pelbagai bidang ilmu agama. Selain belajar dengan bapanya, beliau juga belajar di beberapa buah pondok pesantren di Tanah Jawa, antaranya Pesantren Lirboyo, Kota Kediri.
Di pesantren tersebut, berkemungkinan beliau pernah mengaji dengan Kiai Haji Abdul Karim (1856-1954) iaitu pengasas pondok berkenaan, serta para penggantinya iaitu Kiai Haji Marzuqi Dahlan (1906-1975) dan Kiai Haji Mahrus Ali (1907-1985).
Beliau juga pernah belajar di Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng dan Pesantren Krapyak, Yogjakarta. Pesantren Krapyak atau Pesantren al-Munawwir diasaskan oleh Kiai Haji M. Moenawwir (1942) yang terkenal sebagai pakar al-Qur'an dan qiraat. Di pondok tersebut juga Kiai Husain tekun mempelajari al-Quran dengan gurunya Kiai Moenawwir dan menghayatinya sehinggalah beliau berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta menguasai seni qiraat.
Mendirikan pondok pengajian
Kecintaan beliau terhadap ilmu agama yang sangat tinggi menyebabkan Kiai Husain membuka sebuah pondok pengajian sekitar tahun 1944. Pondok yang didirikan tersebut dikenali sebagai 'Pondok Kiai Haji Husain Sijangkang' atau disebut di kalangan masyarakat Jawa sebagai ‘Pondok Kiai Kusin’.
Pondok ini juga disebut sebagai ‘Asrama Haji Husain’ dan ‘Ma’ahad al-Talabah al-‘Abbasiyah’. Dikatakan bahawa kegemilangan pengajian pondok Kiai Husain adalah antara tahun 60-an dan 70-an, namun kemudiannya pupus disebabkan tiada penyambung untuk meneruskannya.
Berkenaan pondok pengajian tersebut turut dibentangkan oleh pembentang lain, dengan judul Kiai Haji Hussin dan Pondok Ma’had al-Talabah al-Abbasiah: Analisis Penubuhan, Peranan dan Sumbangannya Kepada Masyarakat,. Ia merupakan hasil penyelidikan pensyarah-pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof. Madya Dr. Mohd. Nasran Mohammad dan Ahmad Dahlan Salleh.
Antara yang dibincangkan dalam kertas kerja tersebut adalah mengenai latar belakang pondok, biodata pengasas, perkembangan pondok dan matlamat penubuhan serta sistem pengajian, yang merangkumi sistem pelajaran, cara penyampaian, kitab-kitab yang dipelajari, waktu belajar, undang-undang pondok, sumber kewangan dan masalah pondok.
Namun disebabkan kepadatan ruangan ini, maka hanya beberapa perkara sahaja yang dibicarakan yang dipetik dari kertas kerja tersebut, iaitu:
Sistem pelajaran
Sistem pembelajaran adalah sama seperti sistem pondok-pondok lain di Malaysia, iaitu tiada peperiksaan, tiada kelas tambahan dan tiada sijil dikeluarkan.
Ini kerana objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan pelajar yang alim dan mahir dalam bahasa Arab, dengan harapan mereka dapat memimpin masyarakat setempatnya apabila pulang ke kampong masing-masing.
Sebagai pengasas pondok tersebut, maka beliau adalah ketua dalam segala hal. Disebabkan itu segala kitab yang dibaca, disiplin dan perkara yang berkaitan pondok ditentukan sendiri oleh Kiai Hussin.
Kitab-kitab yang dibaca
Pada umumnya kitab yang dibaca dapat dibahagikan kepada dua. Pertama kitab bagi pelajar baru dan kedua bagi pelajar-pelajar lama. Di antara kitab-kitab yang pernah dibaca golongan pertama ialah Matn al-Jurumiyyah (Nahu), Matn al-Taqrib (Fiqh), Matn al-Safinah (Fiqh), Matn Sullam al-Tawfiq (Fiqh), Matn Bina’ (Sorof), Matn al-Arba’in (Hadis), Matn al-‘Izzi (sharaf) dan Muqaddam.
Berikut pula adalah kitab-kitab yang dibaca bagi gologan kedua, iaitu:
1. Kitab-kitab Nahu, iaitu: Nizam al-‘Umriti, Matn al-Fiyyah, Mutammimah, Syarh Ibn ’Aqil dan lain-lain lagi.
2. Kitab-kitab Fiqh, iaitu: Syarh al-Bajuri, Fath al-Mu’in, I'anah al-Talibin, al-Iqna’, Nihayah al-Zain, Fath al-Wahhab dan lain-lain lagi.
3. Kitab-kitab tafsir, iaitu: Tafsir al-Jalalain, Tafsir al-Munir dan kitab-kitab tafsir lain.
4. Kitab-kitab sharaf, iaitu: Matn al-Bina’, Matn al-Izzi, Matn al-Maqsud dan lain-lain lagi.
5. Kitab-kitab Hadis, iaitu: Matn al-Arba’in, Mukhtasar Ibn Abi Jumrah, Hadith Bukhari, Hadith Muslim, Mustalah al-Hadith dan lain-lain lagi.
6. Kitab Akhlak, iaitu: Ta’alim al-Muta'alim.
7. Kitab-kitab Tasauf, iaitu: Hidayah al-Salikin, Maraqi al-‘Ubudiyyah dan Ihya’ Ulum al-Din.
Cara penyampaian
Cara pertama dipanggil ‘sorokgan’ iaitu selepas guru mengajar, pelajar mestilah membaca seorang demi seorang di hadapannya dengan betul. Kadang-kadang dikehendaki menghafal kalimah tersebut. Cara ini digunakan biasanya kepada pelajar baru.
Cara kedua secara ‘bandungan’ iaitu pelajar dikehendaki memahami kitab yang dibaca oleh kiai dan mencatit makna kalimah. Cara ini digunakan kepada pelajar lama khasnya yang telah membaca kitab-kitab asas.
Hafiz al-Quran
Kiai Husain adalah salah seorang ulama yang menghafal 30 juzuk al-Quran keseluruhannya pada zamannya. Beliau memiliki sebuah mushaf al-Quran kecil bersaiz poket dan sentiasa membawanya bagi mengingati ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya. Sebagai seorang hafiz al-Quran, beliau sering mengulang-ulang kelancaran hafalannya, terutama di bulan Ramadan, yang mana beliau akan mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih.
Beliau juga memberikan ijazah khas al-Quran dengan qiraat Hafs ‘an ‘Asim yang disebut sebagai Syahadah al-Qurianiyyah kepada murid-muridnya yang telah khatam al-Quran dengan
beliau.
Ahli Falak
Kiai Haji Husain juga dikenali sebagai ahli dalam ilmu falak dan mengajarkan ilmu tersebut kepada murid-muridnya. Bahkan pondok yang diasaskan boleh beliau turut mengeluarkan sendiri kalendar tahunan yang mengandungi takwim hijrah yang disertakan dengan kalendar jawa dan waktu solat.
Kalendar tersebut dikeluarkan
pada setiap tahun dan masih wujud sehinggalah kini dan masih
digunapakai oleh masyarakat Jawa, khususnya di Selangor hingga ke selatan Perak.
Penulisan
Sebagaimana ulama-ulama lain yang banyak menghasilkan karya dalam penulisan, Kiai Husain juga banyak menghabiskan masanya dengan menyalin kitab-kitab, termasuklah syair-syair, hadis-hadis sehinggalah kitab-kitab yang agak tebal. Bahkan dikatakan sehingga kini sebahagian kitab-kitab yang disalinnya masih tersimpan dengan baik.
Namun, tidak diketahui sebarang karya asli yang dihasilkan oleh beliau. Dalam kajian pembentang tersebut, hanya ditemui sebuah sahaja iaitu, terjemahan Matn Ajrumiyah ke dalam bahasa Jawa yang diselesaikan oleh beliau pada tahun 1348 H dan masih berbentuk tulisan tangan.
Kewafatan
Beliau kembali ke rahmatullah pada 11 Zulhijjah tahun 1401 H (1981 M)
dan dikebumikan di Perkuburan
Islam Simpang Lima, Klang. Beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu melebihi umur Nabi
SAW, dan ditakdirkan beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar umur 62 tahun.
Di akhir-akhir hidupnya, beliau juga pernah menyuruh anaknya
Muhammad Mahin untuk
membuatkan meja rendah, dengan alasan mudah untuk meletakkan makanan dan menjaganya agar tidak dihurung semut. Namun, beliau menyuruh agar dibuat lebih panjang sehingga ukuran seseorang dapat berbaring atasnya. Dengan takdirnya meja yang tersebut jugalah yang digunakan untuk meletakkan jenazah beliau.
Selain itu, terjadi juga sesuatu yang menghairankan semasa kematian beliau, di mana tarikh di kalendar bertukar menjadi warna hitam, walhal kalendar tersebut dicetak tidak menggunakan dakwat hitam. Namun apabila ditanya kepada pihak percetakan, mereka juga tidak dapat memberi jawapan tentang perkara tersebut.
Keturunan
Kiai Haji Husain mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan seorang tokoh ulama Jawa yang terkenal di Selangor suatu masa dahulu iaitu Kiai Haji Dahlan bin Haji Hassan Isbath.
Hasil perkahwinan dengan Hajah Darwiyah tersebut, beliau dikurniakan lapan cahaya mata, iaitu Hajah Jamalah, Hajah Fauziah, Haji Muhammad Mahin, Haji Mujib, Hajah Aishah, Hajah Barirah, Hajah Munah dan Hajah Jumanah.
Penulisan hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani
Posted by MarzukiUmum telah diketahui dalam apa jenis ilmu keislaman yang berkembang di Asia Tenggara, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat selaku penulisnya termasuk juga mengenai hadis. Mengenai hadis terdapat tulisan beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah: Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, disingkat Bisyaratul 'Amilin, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan, Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.
Mengenai Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, kitab hadis ini diselesaikan di Mekah, pada malam Ahad, 14 Rabiul Akhir 1304 H/1887 M. Memperhatikan tahun selesai penulisan kitab hadis ini (1304 H/1887 M) bererti lebih dulu daripada karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani, iaitu Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) dan karya Sheikh Nawawi al-Bantani, iaitu Nashaihul 'Ibad (1311 H/1893 M). Namun begitu kedua-dua ulama tersebut adalah sebaya dengan Sheikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah Sheikh Ahmad al-Fathani. Bahkan kedua-dua ulama tersebut termasuk dalam senarai guru Sheikh Ahmad al-Fathani juga.
Cetakan pertama kitab ini oleh Matba'ah al- Miriyah Mekah,1304 H/1887 M, kemudian terdapat beberapa edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang. Pada mukadimah Bisyaratul 'Amilin, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa beliau tinggalkan sanad hadis kerana untuk keringkasan, lagi pula sudah cukup berpegang kepada pengambilan kitab-kitab yang muktamad lagi masyhur.
Kitab-kitab rujukannya disebut pada halaman akhir kitab tersebut, ialah Riyadhus Shalihin karya Imam Nawawi, Al-Jami'us Shaghir dan Lubabul Hadits karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi , Tanbihul Ghafilin dan Qur-ratul 'Uyun karya Al-Faqih Abi Laits as-Samarqandi , Mukhtasar Tazkirah al- Qurthubi, disingkat Tazkirah al- Qurthubi saja karya Imam Abdul Wahhab asy-Sya'rani dan lain-lain.
Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al- Fathani seorang pakar/ahli ilmu-ilmu hadis, terbukti pada jawapan beliau atas pertanyaan hadis yang tersebut dalam Ihya' 'Ulumid Din karya Imam al-Ghazali mengenai menggunakan garam dahulu daripada makan dan disudahi dengannya, apakah hadis itu sahih atau tiada sahih.
Sheikh Ahmad al-Fathani menjawabnya dengan huraian yang agak panjang berdasarkan ilmu Mushthalah Hadis dan menyentuh Rijal Hadis. Beberapa nama ulama dan pendapat mereka, serta kitab-kitab mereka beliau sebut.
Nama kitab dan ulama penyusunnya yang beliau sebut di antaranya ialah: Syarah Ihya Ulumid Din karya Saiyid Muhammad al-Huseini az-Zabidi, Kitab al-Maudhu'at karya Ibnu Jauzi, Kitab as-Sya'bi karya Imam Baihaqi, Kitab Taqribit Tahzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-La-ali al-Mashnu'ah karya Imam al-Hafiz as-Suyuthi, Kitab Akhbar Isbahan karya Abu Abdullah bin Mandah, Kitab Al-La-ali al-Marsu' karya Saiyid Muhammad Abil Mahasin al-Qawaqaji, Asnal Mathalib fi Ahadits, disingkat Asnal Mathalib karya Sheikh Muhammad bin Saiyid Darwisy al-Bairuti, dan lain-lain.
Bahasan hadis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai ini ditulis dalam bahasa Arab kemudian diterjemahkan oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Daud bin Ahmad al-Fathani, Pondok Bukit Rahmah, Tanah Merah, Kelantan. Sebahagian daripada terjemahannya dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada pandangan penulis bahawa karya hadis yang tersebut cukup tinggi nilai ilmiahnya.
Mengenai Hadis-Hadis Pilihan masih berupa manuskrip, belum pernah diterbitkan. Kandungannya merupakan sekumpulan hadis yang penting untuk dihafal sebagai asas. Ada pun mengenai Rijal Hadits juga masih dalam bentuk manuskrip yang tidak lengkap. Karya ini merupakan catatan Sheikh Ahmad al-Fathani tentang nama seseorang ulama hadis dan ulama-ulama lainnya, dengan catatan nama yang panjang seberapa yang boleh diketahui mulai nama diri hingga ke atasnya.
Dicatatkan juga nama guru mereka seberapa yang boleh diketahui serta lengkap dengan sanad dan tahun lahir serta wafatnya. Sungguhpun catatan beliau ini banyak yang hilang (tidak lengkap), bagi penulis sangat penting sebagai asas dan pedoman, kerana mungkin satu ketika nanti pekerjaan tersebut akan diteruskan
Penulisan Hadis Sheikh Wan Ali Kutan
Posted by MarzukiSebagaimana di atas telah dibandingkan agak ringkas antara syarah Sheikh Nawawi al-Bantani dengan syarah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani atas sebuah matan hadis Lubab al-Hadits karya Imam as-Suyuthi. Maka sebagai maklumat tambahan, dirasakan perlu karya beliau disenaraikan juga. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, disingkat Al-Jauharul Mauhub saja, diselesaikan di Mekah, pada malam Selasa, 2 Jumadil Awwal 1306 H/1888 M.
Cetakan awal kitab ini ditashhih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, terdapat 27 bait puisi beliau dalam bahasa Arab pada cetakan-cetakan mutawal. Selain terdapat cetakan yang tersendiri kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan ini juga dicetak pada semua cetakan Siyarus Salikin yang diletakkan di bahagian tepinya.
Penulisan hadis Sheikh Nawawi Al-Bantani
Posted by MarzukiNama lengkap ulama yang berasal dari Banten, yang terkenal ini, ialah Sheikh Muhammad Nawawi bin 'Umar ibnu 'Arabi bin 'Ali al-Bantani al-Jawi (lahir 1230 H/1814 M) adalah cucu murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Karya yang dihasilkan demikian banyak semuanya berupa syarah yang ditulis dalam bahasa Arab, yang khas membahas mengenai hadis terdapat dua buah, iaitu: Tanqihul Qaulil Hatsits bi Syarhi Lubabil Hadits, yang disingkat kepada Tanqihul Qaul sahaja dan Nashaihul 'Ibad Syarhul Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad.
Keterangan ringkas mengenai Tanqihul Qaul adalah sebagai yang berikut: Kitab ini adalah merupakan syarah daripada Lubabul Hadits karya Imam Suyuthi. Terdapat dua versi syarah dan dua edisi cetakan yang dilakukan oleh Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut, kedua-duanya tanpa menyebut tahun selesai mengerjakan syarah.
Edisi cetakan yang pertama dalam bentuk ukuran kitab tradisional, semua hadis tanpa harakat atau baris. Edisi cetakan yang satu lagi dalam bentuk buku moden, yang semua hadis diberi tanda baris.
Kitab Lubabul Hadits disyarah Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab, ada sebuah syarah lagi yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Al-Jauharul Mauhub. Kedua-dua ulama itu hidup sezaman di Mekah.
Apabila kita banding kedua-dua syarah yang ditulis ulama yang berasal dari Asia Tenggara itu, kandungannya sangat jauh berbeza. Di antaranya yang sangat ketara ialah pada syarah Sheikh Nawawi al-Bantani, beliau mulai mukadimah lebih menekankan pentingnya "isnad", oleh itu setiap hadis yang termaktub dalam Lubabul Hadits diberi penilaian menurut kaedah "Musthalah Hadits". Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan lebih mementingkan syarah menuju kepada perbaikan akhlak dan dihubungkaitkan dengan amalan yang dikerjakan sehari-hari.
Ditinjau dari sudut pengajian akademik moden, syarah Sheikh Nawawi Banten lebih dapat diterima, tetapi untuk kepada masyarakat luas tidak sampai pada sasarannya.
Dalam syarah beliau disebut nama-nama perawi hadis, isnadnya ada yang disebut sanad sahih atau sanad daif dan sebagainya. Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kelantan semuanya itu tidak dibicarakan, jika ada hanya sedikit sekali, namun bukannya beliau tidak mengetahui perkara itu, tetapi sasaran pendidikan dan dakwah tentunya telah dipertimbangkan supaya tepat pada sasarannya.
Oleh itu syarah Sheikh Wan Ali Kutan sangat meluas penyebarannya kerana karya tersebut lebih menyuburkan bagi tarbiyah rohaniah, yang menyentuh ke lubuk hati yang memang digemari oleh setiap insan baik yang khusus mahupun yang umum.
Mengenai Nashaihul 'Ibad, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M, merupakan syarah Munabbihat 'alal Isti'dad li Yaumil Ma'ad, disingkat Munabbihat 'alal Isti'dad saja, karya Sheikh Syihabuddin Ahmad ibnu Ali bin Muhammad bin Ahmad asy-Syafie atau lebih popular dengan sebut Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani.
Lebih 250 hadis yang dibahas di dalamnya. Pada mukadimah Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa beliau mengambil tabarruk daripada dua buah hadis yang beliau terima daripada dua orang gurunya.
Hadis yang pertama diijazahkan oleh al-Allamah Sheikh Muhammad al-Khatib asy-Syami (al-Madani) al-Hanbali ibnu Uthman bin Abbas, daripada sheikh-sheikh yang berhubung terus hingga sampai kepada Abi Zar al-Ghifari r.a, daripada Nabi SAW.
Hadis yang kedua diijazahkan oleh al-Allamah Saiyid Ahmad al-Marsafi al-Masri, sesudah diijazahkan oleh Saiyid Abdul Wahhab ibnu Ahmad Farahat asy-Syafie, daripada sheikh-sheikh yang musalsal hingga kepada Abdullah ibnu Amru bin al-As, daripada Nabi SAW.
Jika dibandingkan kedua-dua kitab hadis karya Sheikh Nawawi al-Bantani, Tanqihul Qaul dengan Nashaihul 'Ibad, maka Nashaihul 'Ibad lebih banyak dikenal oleh masyarakat seluruh Asia Tenggara kerana banyak diajarkan di pelbagai pondok
Penulisan hadis Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani
Posted by MarzukiDi kalangan masyarakat pengajian Islam tradisional Asia Tenggara, nama Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tidak asing lagi bagi mereka. Namun bagi sesetengah orang hanya mengetahui bahawa keterlibatan penulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanyalah dalam ilmu-ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf saja.
Memang diakui ketiga-tiga ilmu itulah yang paling banyak ditulisnya, tetapi bukan bererti ilmu-ilmu lain tidak beliau tulis. Beberapa buah kitab mengenai hadis karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga dapat dikesan. Disenaraikan kitab-kitab itu berserta dengan keterangan ringkas mengenainya:
1. Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, disingkat kepada Hadis Imam Mahdi, diselesaikan malam Sabtu, Zulkaedah 1215 H/1800 M. Kitab tersebut merupakan terjemahan dari karya Sheikh Mirghani bin Yusuf. Lafaz hadis tetap dikekalkan dalam teks, sesudah itu diterjemahkan secara langsung ke dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang terkandung di dalamnya ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi.
Dalam penelitian penulis, ia merupakan karya yang pertama sekali dalam bahasa Melayu yang membicarakan hadis mengenai Imam Mahdi secara lengkap.
2. Kasyful Ghummah, diselesaikan tahun 1236 H/1822 M. Kitab ini merupakan terjemahan dari Kasyful Ghummah karya Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya'rani. Cetakan pertama kitab ini (1303 H/1885 M) diusahakan dan ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.
3. Hikayat Imam, belum dijumpai. Penulis difahamkan oleh beberapa orang tua-tua di Patani bahawa kitab ini merupakan ilmu rijalil hadis. Dengan demikian dipercayai bahawa Hikayat Imam ini adalah merupakan kitab yang pertama sekali dan merupakan satu-satunya dalam bahasa Melayu yang membicarakan ilmu rijalil hadis.
Jika kita kaji penulisan mengenai rijal hadis dari zaman dulu hingga sekarang, dilihat ilmu rijal hadis memang agak ketinggalan. Bahkan hingga ke zaman kita belum dijumpai karya Melayu yang khusus tentang itu dalam tulisan Rumi/Latin.
4. Dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasawuf juga banyak membicarakan hadis. Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis, demikian juga dalam Jam'ul Fawaid, dan lain-lain.