Sebagaimana di atas telah dibandingkan agak ringkas antara syarah Sheikh Nawawi al-Bantani dengan syarah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani atas sebuah matan hadis Lubab al-Hadits karya Imam as-Suyuthi. Maka sebagai maklumat tambahan, dirasakan perlu karya beliau disenaraikan juga. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, disingkat Al-Jauharul Mauhub saja, diselesaikan di Mekah, pada malam Selasa, 2 Jumadil Awwal 1306 H/1888 M.
Cetakan awal kitab ini ditashhih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, terdapat 27 bait puisi beliau dalam bahasa Arab pada cetakan-cetakan mutawal. Selain terdapat cetakan yang tersendiri kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan ini juga dicetak pada semua cetakan Siyarus Salikin yang diletakkan di bahagian tepinya.
Penulisan Hadis Sheikh Wan Ali Kutan
Posted by MarzukiHj. Abdul Rahman bin Hj. Osman (Tok Selehong)
Posted by MarzukiTokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Hj. Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.
Nama sebenarnya ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman. Juga dipanggil dengan nama Hj. Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair. Seorang daripada guru awalnya ialah Hj. Abdul Malek Sungai Pulau Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung pelajaran di pondok Cha-ok, Patani –berguru dengan Tok Cha-ok @ Hj. Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan daud Pattani, Tuan Mokhtar Bogor,Tok Syafie kedah dan ramai lagi.
Selepas 18 tahun bermukim diTanah Suci Mekah, pulang ke tnah Air(1921) lalu mengasaskan pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong.Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu.Bidang ilmu yang sangat ditumpukanya ialah Ihsanuddin atau Tasawwuf dengan Syarh Hikam Ibn Ataa’llah sebagai teks utama.
Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zuhud. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikanya semacam kamar khusus sebagai tempat beliau beribadat dan bersuluk.
Bapa mertua kpd tuan guru Haji Ahmad Batu 3 Repek dan Haji Awang Beta ini kembali kerahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan dikubur selehong, Tumpat.
Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad
Posted by MarzukiTokoh yang terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani dan tegas tetapi kontroversial ini dilantik menjadi Mufti pada 19hb. Januari 1090, tidak lama selepas penamatan tempoh perkhidmatan Mufti sebelumnya - Haji Wan Ishak. Beliau ialah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang ke-3 selepas Haji Nik Wan Daud dan Haji Wan Ishak.
Anak Tuan Tabal, beliau dilahirkan di Lorong Tok Semian, Kota Bharu pada tahun 1875. Belajar agama dia Mekah kepada guru-guru yang terkenal, antaranya Syeikh Hasbullah, Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Dandrawi, Syeikh Wan Ahmad bin Wan Mohd. Zain al-Fatani dan lain-lain. Banyak membaca kitab-kitab golongan reformis Islam serta meneliti perkembangan politik dunia melalui majalah-majalah terkemuka di dalam dan di luar negeri seperti al-Manar, al-Urwah, al-Wuthqa, al-Imam dan lain-lain.
Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang cenderung kepada fahaman pembaharuan (reformasi) telah menyeret beliau ke dalam kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh kaum tua. Antara isu-isu kontroversial yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, persoalan muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, talfiq mazhab, hukum jilatan anjing, jualan harta wakaf dan lain-lain. Kerana yakin kepada pendapat-pendapat yang pernah dikemukakannya tetapi tidak mendapat sambutan daripada kaum tua, beliau kemudiannya memilih meletak jawatan Mufti pad akhir Jun 1916.
Selepas meletak jawatan, beliau mengajar di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu. Di bawah bimbingan beliau, lahirlah sejumlah ulama-ulama progresif di Kelantan. Antaranya termasuklah Haji As'ad Kangkung, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Dato' Haji Ahmad Maher, Mualana Haji Abdullah Nuh (Pasir Puteh), Haji Ayub Kemboja, Haji Abd. Manan Sumatera, Haji Abd. Wahid Sungai Udang (Melaka), Haji Nik Mat Alim Pulau Melaka (ayahanda kepada Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd. Aziz - Menteri Besar Kelantan sekarang), Haji Ismail Lundang Paku, Haji Nik Abd. Rahman Palekbang serta lima orang putera-putera beliau sendiri (Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mat Nazir, Haji Nik Mahmud, Haji Nik Muhamad Salleh dan Haji Nik Muhamad Mahyudin).
Meninggal dunia pada petang hari Sabtu, 14hb Januari 1939 ketika berusia 65 tahun.
HAJI YAAKOB LORONG GAJAH MATI (1895-1956)
Posted by MarzukiSalah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku ke dua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Hj. Saad Kangkong, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Mat Jebeng, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama sebenar tokoh utama ini ialah Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad yang tinggal di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu.
Kerja awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922,dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan pada ketika itu. Gajinya meningkat ke RM28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehingga 1945.
Antara murid-murid harapnnya ialah tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed hasan Lemal, Tuan guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru,Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman,Hutan Palas, Kodiang (Kedah).
Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang Tarikat Ahmadiah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis di Kelantan.
Tuan Guru Hj. Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu –6 Jamadilawal 1376 bersamaaan 8 Disember 1956
Tok Pulai Condong
Posted by MarzukiTok Pulai Condong adalah seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara yang bertanggung jawab menyebarkan syiar Islam pada zaman kegelapan masyarakat Melayu lampau. Tokoh ini dilahirkan ketika pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada 1792. Beliau adalah saudara dua pupu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Beliau mendapat pendidikan daripada ayah dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani dan juga belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah.
Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Adam dan ada yang mengatakan beliau adalah murid Syeikh Daud al-Fatani.
Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan dan menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf.
Atas sikap ingin belajar, ulama ini sekali lagi melanjutkan pelajaran ke Makkah pada 1840 kerana berasa dirinya perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, ilmunya dalam Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.
Tok Pulai Condong adalah ulama yang alim, warak dalam ilmu agama, malah doa yang selalu dipraktikkan ialah Hizbul Bahar serta berpegang kepada falsafah ‘Berhamba kepada Allah dengan sebaik hamba’.
Beliau kerap menunaikan haji dan pernah membawa anaknya, Muhammad Arshad yang berusia 13 tahun. Sewaktu menunaikan haji beliau sempat menziarah makam Imam Syafie di Mesir bersama Tuan Tabal (Pengarang Kitab Sabla dan Tuan Haji Hassan Besut).
Pada 1820 Tok Pulai Condong membuka Kampung Bilal Talib, Pulai Condong dan membina sebuah surau berhampiran sebatang pokok pulai di kampung itu. Sekembalinya dari Makkah, beliau aktif menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat dengan mendirikan sebuah surau pada 1820 dan dijadikan pusat pengajian sistem pondok.
Cicit beliau, Mohd Nor Haji Muhamad, 71, berkata surau pertama yang dibina Tok Pulai Condong terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sebatang pokok pulai yang dikatakan condong. Beliau mendapat gelaran itu sempena membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai.
Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. Selepas kematiannya, pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arshad.
Beliau juga mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum ia dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang.
“Pada 1856 masjid itu sekali lagi terbakar, kali ini ia dibakar oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Awang Senik dan ia dibina semula dengan kerjasama anak mukimnya.
“Dalam kejadian itu, menara masjid tidak terbakar dan mimbar serta gendang asal masih kekal hingga kini,” katanya.
Mohd Nor berkata, menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung. Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan. Keteguhan menara itu teruji apabila negeri dipukul ribut besar pada 1880 menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.
Sumbangan Tok Pulai Condong dalam syiar Islam mendapat perhatian Sultan dan Sultan Muhammad II kemudian melantiknya sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan mengenai Islam. Sumbangannya berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil kepada masyarakat berilmu dan patuh terhadap perintah Allah.
• Meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala (berhampiran kubur Siti Khadijah).
• Mempunyai empat orang isteri iaitu Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha.
Tok Pulau Ubi
Posted by MarzukiSelain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana ‘angin besar’ yang menyebabkan negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.
Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.
Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.Setelah Mufti Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan Musa.
Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun. Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya. Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang datang membuka pondok pengajian di situ.Suasana di situ digambarkan sebagai rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran’. Begitulah Pulau Ubi digambarkan yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Dunia Kedua.
Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti. Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya sekali.
Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga Lanas. “Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan suara lantang untuk menasihati. “Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya. “Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya, malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya,” katanya.
Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.Katanya, Yusuf sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas.
Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini. Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid.
Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran. Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.
“Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan, hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan,” katanya.
Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.
Biodata
• Dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan pada 1887 dan meninggal dunia ketika usia 90 tahun.
• Dikebumikan di Kampung Telaga Lanas, Tumpat, bersebelahan pusara isterinya.
• Berguru dengan Tok Wan Ali Kutan dan Wan Ahmad Muhammad Zain Pattani.
• Belajar al-Quran dengan Abdullah Senggora.
• Ketika di Makkah, Yusof bersahabat dengan Tok Selehor, Tok Kenali dan Pak Da Ail.
• Antara kitab yang diajarnya iaitu Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada dan Fath al-Muin.
• Kelebihannya ialah dalam ilmu fiqh dan tauhid.
• Di antara muridnya ialah Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti.
TOK KENALI (1870 - 1933)
Posted by Marzuki
Tokoh ulamak Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulamak besar Semenanjung Melayu sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Halaim (Muar), Haji Mat Syafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi sebutan dan bualan ramai.
Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad. Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1350H-1327H). sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini kedalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu kepada usuluddin, fiqh da tasawauf sahaja).
Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tuk Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa - bukan saja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah: Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj, Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj, Abdullah Tahir Bunut Payung. Hj. Yusof Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubuk Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato Hj. Hassan Yunus al-Zahari (Menteri Besar Johor), Dato Hj. Abdul Rahim Yunus, (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).
Di samping itu dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad (tok guru haji ahmad bagok) dan syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) - juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar. Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai "Serambi Mekah" itu sangat berkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.
Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.