himpunan blogku

Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman (Tok Selehong)

Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Hj. Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.
Nama sebenarnya ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman. Juga dipanggil dengan nama Hj. Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair. Seorang daripada guru awalnya ialah Hj. Abdul Malek Sungai Pulau Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung pelajaran di pondok Cha-ok, Patani –berguru dengan Tok Cha-ok @ Hj. Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan daud Pattani, Tuan Mokhtar Bogor,Tok Syafie kedah dan ramai lagi.
Selepas 18 tahun bermukim diTanah Suci Mekah, pulang ke tnah Air(1921) lalu mengasaskan pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong.Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu.Bidang ilmu yang sangat ditumpukanya ialah Ihsanuddin atau Tasawwuf dengan Syarh Hikam Ibn Ataa’llah sebagai teks utama.
Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zuhud. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikanya semacam kamar khusus sebagai tempat beliau beribadat dan bersuluk.
Bapa mertua kpd tuan guru Haji Ahmad Batu 3 Repek dan Haji Awang Beta ini kembali kerahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan dikubur selehong, Tumpat.

Seguir leyendo...

Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad

Tokoh yang terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani dan tegas tetapi kontroversial ini dilantik menjadi Mufti pada 19hb. Januari 1090, tidak lama selepas penamatan tempoh perkhidmatan Mufti sebelumnya - Haji Wan Ishak. Beliau ialah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang ke-3 selepas Haji Nik Wan Daud dan Haji Wan Ishak.
Anak Tuan Tabal, beliau dilahirkan di Lorong Tok Semian, Kota Bharu pada tahun 1875. Belajar agama dia Mekah kepada guru-guru yang terkenal, antaranya Syeikh Hasbullah, Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Dandrawi, Syeikh Wan Ahmad bin Wan Mohd. Zain al-Fatani dan lain-lain. Banyak membaca kitab-kitab golongan reformis Islam serta meneliti perkembangan politik dunia melalui majalah-majalah terkemuka di dalam dan di luar negeri seperti al-Manar, al-Urwah, al-Wuthqa, al-Imam dan lain-lain.
Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang cenderung kepada fahaman pembaharuan (reformasi) telah menyeret beliau ke dalam kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh kaum tua. Antara isu-isu kontroversial yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, persoalan muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, talfiq mazhab, hukum jilatan anjing, jualan harta wakaf dan lain-lain. Kerana yakin kepada pendapat-pendapat yang pernah dikemukakannya tetapi tidak mendapat sambutan daripada kaum tua, beliau kemudiannya memilih meletak jawatan Mufti pad akhir Jun 1916.
Selepas meletak jawatan, beliau mengajar di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu. Di bawah bimbingan beliau, lahirlah sejumlah ulama-ulama progresif di Kelantan. Antaranya termasuklah Haji As'ad Kangkung, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Dato' Haji Ahmad Maher, Mualana Haji Abdullah Nuh (Pasir Puteh), Haji Ayub Kemboja, Haji Abd. Manan Sumatera, Haji Abd. Wahid Sungai Udang (Melaka), Haji Nik Mat Alim Pulau Melaka (ayahanda kepada Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd. Aziz - Menteri Besar Kelantan sekarang), Haji Ismail Lundang Paku, Haji Nik Abd. Rahman Palekbang serta lima orang putera-putera beliau sendiri (Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mat Nazir, Haji Nik Mahmud, Haji Nik Muhamad Salleh dan Haji Nik Muhamad Mahyudin).
Meninggal dunia pada petang hari Sabtu, 14hb Januari 1939 ketika berusia 65 tahun.

Seguir leyendo...

HAJI YAAKOB LORONG GAJAH MATI (1895-1956)

Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku ke dua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Hj. Saad Kangkong, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Mat Jebeng, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama sebenar tokoh utama ini ialah Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad yang tinggal di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu.
Kerja awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922,dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan pada ketika itu. Gajinya meningkat ke RM28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehingga 1945.
Antara murid-murid harapnnya ialah tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed hasan Lemal, Tuan guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru,Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman,Hutan Palas, Kodiang (Kedah).
Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang Tarikat Ahmadiah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis di Kelantan.
Tuan Guru Hj. Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu –6 Jamadilawal 1376 bersamaaan 8 Disember 1956

Seguir leyendo...

Tukku Paloh memerangi jenayah aqidah di Terengganu

Oleh ABD. AZIZ ITAR (aziz.itar@utusan.com.my)
SAYYID Abd. al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh merupakan tokoh ulama dan umarak yang terkenal di Terengganu sekitar hujung kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20.
Tukku Paloh yang dilahirkan pada 1817 disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap perkembangan politik, semangat patriotisme, keilmuan serta pelaksanaan hukum-hukum Islam di negeri tersebut.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 1918 juga amat disegani ramai hingga kini lantaran kesungguhannya melaksanakan hukum-hukum Islam. Kesungguhan nasab ke-32 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. ini dalam melaksanakan hukum Islam di Terengganu dapat dilihat menerusi sebuah kitab tulisannya yang berjudul Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi iq al-Irfan.
Kitab itu antara lain memperlihatkan sikap Tukku Paloh yang cukup serius terutamanya dalam memerangi jenayah aqidah yang berleluasa berlaku ketika di zamannya itu. Sebagai contohnya, beliau menekankan tentang bahaya amalan masyarakat ketika itu yang mengamalkan main peteri iaitu suatu upacara mengubati pesakit melalui perubatan tradisional.
Menurut beliau dalam kitab itu, main peteri atau main bageh mempunyai unsur-unsur kurafat yang menggaitkan hantu dalam mengubati sesuatu penyakit telah membelenggu aqidah masyarakat di sana sejak sekian lama. Banyak mazhab sesat dan penyelewengan aqidah yang didedahkan oleh Tukku Paloh menerusi kitab itu di mana ia menggambarkan senario yang berlaku di Terengganu pada ketika itu. Rafidiyah, Kharijiah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah merupakan enam mazhab sesat yang mendapat tumpuan beliau menerusi kitab tersebut.
Mazhab-mazhab itu merupakan asas kepada kelompok-kelompok lain yang berpecah daripada aqidah yang sama di mana setiap satunya berpecah kepada 12 kumpulan. Natijahnya, jumlah semua kumpulan itu menjadi 72 kumpulan. Ia sebenarnya berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Demi Tuhan yang menguasai jiwa Muhammad akan berfirqah (berpecah) umatku sebanyak 73 firqah. Satu firqah masuk ke dalam syurga dan 72 firqah masuk ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Firqah yang masuk ke dalam syurga itu ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah” - Riwayat al-Tabrani.
Peranan Tukku Paloh itu bukan setakat banyak membantu mengubah senario kefahaman agama dalam masyarakat tetapi ia turut terus menjadi bahan kajian ramai sarjana hingga ke saat ini. Antaranya pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UM), Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Tukku Paloh : Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah Di Terengganu.
Ia dibentangkan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 Siri Ke-14 yang dipengerusikan oleh Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham.
Sumbangan
Kertas kerja itu merupakan sebahagian daripada tesis doktor falsafah beliau yang memfokuskan tentang sumbangan Tukku Paloh dalam membetulkan aqidah umat Islam ketika itu.
Jelas Mohd. Taufik, tokoh terbilang itu misalnya, melaksanakan hukum Islam ketika dilantik oleh Sultan Zainal Abidin III mentadbir daerah Sungai Nerus di Terengganu.
“Daripada kajian yang saya jalankan tentang Tukku Paloh, saya difahamkan beliau seorang pentadbir yang serius dalam menjalankan hukum Islam secara menyeluruh di daerah tadbirannya itu.
“Ketika zaman Tukku Paloh, ada bukti yang menunjukkan hukuman seperti potong tangan kerana kesalahan mencuri telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja tersebut di UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tukku Paloh bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukum-hukum Islam terutamanya dalam membetulkan aqidah umat Islam yang boleh dianggap perkara tunjang yang patut diberi perhatian utama. Apatah lagi, katanya Allahyarham merupakan salah seorang penasihat utama Sultan Zainal Abidin III yang menasihati baginda dalam hal-hal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
Senario itu memberi kelebihan kepada Tukku Paloh berdasarkan kebolehannya yang luas dalam bidang keilmuan Islam, apatah lagi ketika itu institusi ulama banyak mencorakkan sistem pemerintahan kerajaan di sana. Sebagai contohnya, Tukku Paloh pernah diberi peranan menyusun dan seterusnya mewujudkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan di negeri itu.
Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqa iq al-Irfan atau maksudnya Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Ia Bagi Orang Yang Naik Ia Kepada Martabat Segala Hakikat Makrifat itu merupakan kitab yang dikaji oleh Mohd. Taufik sejak 2006.
Kitab yang ditulis pada 1900 itu kini hanya boleh didapati dalam bentuk salinan di mana versi pertamanya didapati daripada cucu Tukku Paloh iaitu Tukku Paloh Tuan Baru pada 2004. Sesuai dengan budaya setempat, terdapat unsur bahasa dialek Terengganu yang tercatat dalam perkataan-perkataan dan ayat-ayat dalam kitab ini. Misalnya, perkataan lipah yang bermaksud lipas, setuh (sentuh), papang (papan), pihok (pihak), kasu (kasut), kerijakan (kerjakan), anok (anak), mekapuskan (menghapuskan) dan sebagainya.
Berdasarkan contoh tersebut ia menjelaskan lagi tentang pengaruh dialek Terengganu. Pada umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu diakhiri dengan sebutan ‘n’ tetapi dalam sebutan Terengganu ia diakhiri dengan sebutan ‘ng’. Contohnya, ‘makan’ tetapi ia bertukar menjadi ‘makang’.
Selain memerangi penyelewengan aqidah yang boleh dianggap sebagai jenayah, Tukku Paloh juga merupakan antara tokoh Melayu yang banyak mencetuskan semangat patriotisme bagi menentang penjajahan British. Disebabkan tahap keilmuan yang tinggi, ditambah dengan sifatnya yang warak, nama Tukku Paloh turut menjadi sebutan ramai pada zamannya.
Tokoh yang pernah menuntut ilmu sekitar 10 tahun di Mekah ini dikatakan juga seorang pengamal tasawwuf yang tinggi serta dikenali sebagai pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah.
Gelaran
Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelar beliau dengan gelaran Engku Sayyid Keramat kerana banyak peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku ketika hidupnya. “Antaranya pernah diceritakan orang seorang wakil British tidak dapat bangun daripada duduknya ketika berdepan dengan Tukku Paloh. Dia menjadi tergamam dan seperti tidak tahu hendak buat apa apabila berdepan dengan Tukku Paloh. Itu antara kekeramatan Allahyarham yang pernah diceritakan orang.
“Perkara itu tidak menghairankan kerana ia sudah banyak berlaku ke atas orang yang berilmu dan warak seperti Tukku Paloh. Mungkin itu kelebihan yang Allah berikan kepada beliau,” ujar Mohd. Taufik.
Dalam pada itu, beliau bukan sahaja mengkagumi isi kandungan kitab-kitab karangan Tukku Paloh tetapi turut mengkaji tentang keperibadian tokoh yang disegani ramai itu. Malah, Mohd. Taufik mencadangkan agar usaha-usaha tertentu dilakukan bagi mengetengahkan lagi watak Tukku Paloh untuk dihayati serta diteladani oleh generasi muda hari ini.
“Banyak perkara yang boleh kita pelajari misalnya, kesungguhan Tukku Paloh dalam usaha mencari ilmu dan mengamalkan apa yang beliau pelajari. Sifat keperwiraan yang ada pada diri Tukku Paloh juga patut dihayati supaya ia menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.
“Kalau selama ini kita mudah mengangkat tokoh-tokoh luar dalam filem, drama atau komik, mengapa tiada usaha dilakukan untuk menterjemahkan perjuangan Tukku Paloh dalam konteks kehidupan kita pada hari ini?” soalnya.

Seguir leyendo...

Tok Pulai Condong

Tok Pulai Condong adalah seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara yang bertanggung jawab menyebarkan syiar Islam pada zaman kegelapan masyarakat Melayu lampau. Tokoh ini dilahirkan ketika pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada 1792. Beliau adalah saudara dua pupu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Beliau mendapat pendidikan daripada ayah dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani dan juga belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah.
Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Adam dan ada yang mengatakan beliau adalah murid Syeikh Daud al-Fatani.
Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan dan menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf.
Atas sikap ingin belajar, ulama ini sekali lagi melanjutkan pelajaran ke Makkah pada 1840 kerana berasa dirinya perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, ilmunya dalam Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.
Tok Pulai Condong adalah ulama yang alim, warak dalam ilmu agama, malah doa yang selalu dipraktikkan ialah Hizbul Bahar serta berpegang kepada falsafah ‘Berhamba kepada Allah dengan sebaik hamba’.
Beliau kerap menunaikan haji dan pernah membawa anaknya, Muhammad Arshad yang berusia 13 tahun. Sewaktu menunaikan haji beliau sempat menziarah makam Imam Syafie di Mesir bersama Tuan Tabal (Pengarang Kitab Sabla dan Tuan Haji Hassan Besut).
Pada 1820 Tok Pulai Condong membuka Kampung Bilal Talib, Pulai Condong dan membina sebuah surau berhampiran sebatang pokok pulai di kampung itu. Sekembalinya dari Makkah, beliau aktif menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat dengan mendirikan sebuah surau pada 1820 dan dijadikan pusat pengajian sistem pondok.
Cicit beliau, Mohd Nor Haji Muhamad, 71, berkata surau pertama yang dibina Tok Pulai Condong terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sebatang pokok pulai yang dikatakan condong. Beliau mendapat gelaran itu sempena membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai.
Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. Selepas kematiannya, pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arshad.
Beliau juga mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum ia dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang.
“Pada 1856 masjid itu sekali lagi terbakar, kali ini ia dibakar oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Awang Senik dan ia dibina semula dengan kerjasama anak mukimnya.
“Dalam kejadian itu, menara masjid tidak terbakar dan mimbar serta gendang asal masih kekal hingga kini,” katanya.
Mohd Nor berkata, menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung. Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan. Keteguhan menara itu teruji apabila negeri dipukul ribut besar pada 1880 menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.
Sumbangan Tok Pulai Condong dalam syiar Islam mendapat perhatian Sultan dan Sultan Muhammad II kemudian melantiknya sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan mengenai Islam. Sumbangannya berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil kepada masyarakat berilmu dan patuh terhadap perintah Allah.
• Meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala (berhampiran kubur Siti Khadijah).
• Mempunyai empat orang isteri iaitu Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha.

Seguir leyendo...

Tok Pulau Ubi

Selain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana ‘angin besar’ yang menyebabkan negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.
Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.
Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.Setelah Mufti Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan Musa.
Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun. Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya. Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang datang membuka pondok pengajian di situ.Suasana di situ digambarkan sebagai rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran’. Begitulah Pulau Ubi digambarkan yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Dunia Kedua.
Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti. Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya sekali.
Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga Lanas. “Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan suara lantang untuk menasihati. “Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya. “Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya, malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya,” katanya.
Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.Katanya, Yusuf sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas.
Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini. Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid.
Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran. Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.
“Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan, hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan,” katanya.
Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.
Biodata
• Dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan pada 1887 dan meninggal dunia ketika usia 90 tahun.
• Dikebumikan di Kampung Telaga Lanas, Tumpat, bersebelahan pusara isterinya.
• Berguru dengan Tok Wan Ali Kutan dan Wan Ahmad Muhammad Zain Pattani.
• Belajar al-Quran dengan Abdullah Senggora.
• Ketika di Makkah, Yusof bersahabat dengan Tok Selehor, Tok Kenali dan Pak Da Ail.
• Antara kitab yang diajarnya iaitu Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada dan Fath al-Muin.
• Kelebihannya ialah dalam ilmu fiqh dan tauhid.
• Di antara muridnya ialah Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti.

Seguir leyendo...

the riyadh (akhil hayy)

Seguir leyendo...

TOK KENALI (1870 - 1933)


Tokoh ulamak Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulamak besar Semenanjung Melayu sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Halaim (Muar), Haji Mat Syafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi sebutan dan bualan ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad. Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1350H-1327H). sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini kedalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu kepada usuluddin, fiqh da tasawauf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tuk Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa - bukan saja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah: Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj, Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj, Abdullah Tahir Bunut Payung. Hj. Yusof Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubuk Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato Hj. Hassan Yunus al-Zahari (Menteri Besar Johor), Dato Hj. Abdul Rahim Yunus, (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).

Di samping itu dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad (tok guru haji ahmad bagok) dan syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) - juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar. Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai "Serambi Mekah" itu sangat berkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.

Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

Seguir leyendo...

Abdul Rauf Singkel (Syiah Kuala)


PENGENALAN
Akhbar Mingguan Malaysia pada hari Ahad, 16 Januari 2004 ada menyiarkan berita makam ulamak besar Aceh, Syeikh Abdul Rauf Singkel yang rosak teruk dilanda tsunami.
Menurut ceritanya, suatu pesta hiburan telah diadakan di persisiran pantai berhampiran makam tersebut pada 25 Disember lalu, walaupun telah ditegur oleh seorang kiyai. Sama ada ianya satu kebetulan atau tidak, keesokan harinya tsunami melanda dan memusnahkan dua kampung yang ada di situ iaitu Kampung *Syiah Kuala dan Kampung Alun Naga.
Siapakah Abdul Rauf Singkel dan apakah signifikannya kehadiran beliau di dalam sejarah Acheh?

KELAHIRAN
Beliau adalah tokoh ulamak tersohor Nusantara pada kurun ke-17. Dilahirkan di Kabupaten Singkel, sebuah daerah kecil di Acheh Selatan pada tahun 1620, iaitu lebih 100 tahun selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis.
PENDIDIKAN
Pendidikan pertamanya adalah dari ayahnya, Syeikh Ali, seorang alim yang juga mempunyai pesantren. Beliau kemudian berguru di Fansur, Acheh. Beberapa tahun kemudian, beliau berguru dengan seorang tokoh ulamak besar Acheh iaitu Syeikh Shamsuddin Al Sumatrani di Banda Aceh.
Beliau merantau ke Tanah Arab pada tahun 1642 dan belajar dari 19 guru dan 27 ulamak di dalam berbagai disiplin Ilmu Islam. Tempat belajarnya adalah di sepanjang perjalanan untuk mengerjakan haji; mulai dari Doha, kemudian di Yaman, Jeddah, Makkah serta Madinah. Tahap intelektualisme beliau adalah sangat tinggi berkat didikan para ulama terkemuka saat itu. Pengetahuannya sangat lengkap mencakupi pelbagai bidang; syariat, fiqh, hadis, ilmu kalam dan tasawuf.
MENGAJAR
Kemudian beliau mengajar di Mekah & Madinah. Selepas 19 tahun berada di Tanah Arab, beliau memutuskan kembali ke Acheh sekitar tahun 1662 dan mengajar di madrasahnya di Kuala Sg Aceh. Ramai murid datang berguru dengannya dari seluruh Nusantara. Antara murid-muridnya yang menjadi ulama terkenal ialah Syeikh Burhanuddin Wafan dari Minangkabau, Abd Al Muhnyi dari Jawa Barat, Dawud Al Jawi Al Fansuri dan Ismail Agha Mushthafa Agha 'Ali Al Rumi dari Turki.
BIDANG PENTADBIRAN
Kerana pengetahuannya yang luas, Sultanah Safiyatuddin Tajul Alam (1645 hingga 1675) telah melantik beliau menjadi Perdana Menteri yg bertanggung jawab memberi nasihat di dalam bidang agama, sosial, kebudayaan dan pentadbiran. Beliau bertanggung jawab di dalam penyusunan semula pentadbiran Acheh yang hancur akibat perang dengan Portugis di Melaka (1629). Hasilnya Acheh pulih semula sebagai pusat Islam & kebudayaan Melayu di Nusantara.
BIDANG KEAGAMAAN
Beliau merupakan tokoh kesufian, ahli hukum Islam & pendakwah ulung di Nusantara. Hukum Islam - jasa beliau yang paling besar ialah meletakkan Syari'at Islam sebagai perundangan negara. Fatwa & karangan beliau diterima ramai kerana ianya jelas & mudah difahami. Tafsir Al Qur'an - orang pertama menterjemahkan Al-Qur'an ke dalam Bahasa Melayu di Nusantara. Buku tafsirnya Al Baidhawi masih diterbitkan di Mesir hingga ke hari ini.
Dakwah - menyebarkan Islam dengan mendirikan madrasah, mengajar & menulis tentang Islam.
MENINGGAL DUNIA
Beliau meninggal dunia ketika berusia 73 tahun. Beliau juga digelar "Tengku *Syiah Kuala". Sebagai mengenang jasa & menghormati peribadi beliau, sebuah universiti di Banda Aceh telah dinamakan sempena nama beliau iaitu Universiti *Syiah Kuala www.unsyiah.ac.id/.
*Nota - "Syiah" (disebut "Syah") adalah "Syeikh" di dalam loghat Acheh. Ia tiada kaitan langsung dengan fahaman Syi'ah.

Seguir leyendo...

Kiai Mohd. Yasin Thoha Al-Bakri

KIAI Mohd. Yasin Thoha al-Bakri adalah ulama yang akan dibicarakan pada ruangan kali ini. Sejarah biografi ulama ini adalah berdasarkan penyelidikan dan penulisan anak beliau sendiri, iaitu Haji Mohd. Arif Zaki. Penulisan beliau adalah bersumberkan fakta-fakta yang beliau terima secara lisan daripada keluarga dan kaum kerabat terdekat, melalui cerita daripada arwah bapa semasa hidupnya, dan juga pengalaman beliau sendiri

Penulisan beliau tersebut adalah majlis 'Sempena Hari Perjumpaan keluarga al-Yasin' yang julung kali diadakan pada 3 Syawal 1424 Hijrah bersamaan 27 November 2003. Hampir keseluruhan maklumat berkaitan ulama ini dipetik daripada penulisan tersebut, yang antaranya membicarakan mengenai kelahiran, pendidikan, rakan-rakan seperjuangan, peranan dalam menjaga keselamatan negara dan pemergian beliau ke Rahmatullah.

Kelahiran

Tokoh ulama ini dilahirkan kira-kira pada tahun 1903 di Kampung Dukuhguna, Kecamatan (Mukim) Krengkeng Kewedanan, Cirebon dalam propinsi (Wilayah) Jawa Barat Indonesia.

Nama penuh beliau ialah Haji Mohd. Yasin Thoha bin Haji Abu Bakar bin Sewi bin Jayem. Ibunya bernama Siti Fatimah, yang digelar sebagai Embok Tua Siti, manakala ayahnya pula digelar sebagai Bapatua Bakar. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga-beradik, iaitu: 1. Hajah Aisyah dan 2. Hajah Halimah.

Kira-kira pada awal abad ke-20, Kiai Mohd. Yasin Thoha bersama adik-beradiknya yang lain dibawa merantau dari Tanah Jawa ke Tanah Melayu dengan menaiki kapal laut melalui Pelabuhan Singapura.

Pada ketika itu, Pulau Singapura memang sudah terkenal di kalangan orang di Tanah Jawa. Mereka kurang mengenali Semenanjung Tanah Melayu, tetapi lebih mengenali 'Singgapur'.

Kiai Mohd. Yasin Thoha selalu berulang alik mengikuti orang tuanya ke Tanah Melayu dengan tujuan berdakwah. Peranan bapanya dalam bidang dakwah dan pendidikan di Tanah Jawa, iaitu di Kampung Dukuhguna terbukti di mana beliau membina sebuah surau dan tempat belajar. Apabila mereka berhijrah ke Tanah Melayu, mereka juga mendirikan sebuah lagi surau di Kampung Sungai Batang.

Hakikat ini menunjukkan penghijrahan ini bukan untuk mencari kekayaan harta benda, tetapi untuk menyampaikan dakwah di samping mencari penghidupan. Surau di Tanah Jawa tersebut masih wujud sehingga ke hari ini, namun tidak berfungsi lagi kerana berhampiran dengan sebuah masjid yang baru didirikan.

Pendidikan

Di zaman kanak-kanak, beliau dididik dan diasuh dengan didikan agama serta sopan santun yang tinggi. Bapa beliau iaitu Kiai Abu Bakar adalah salah seorang ahli Sufi yang sentiasa melakukan ibadah puasa sunat.

Disebabkan itu, bapa beliau dikenali juga sebagai Embah Syiam iaitu Embah yang suka berpuasa. Di samping itu, beliau juga banyak mengamalkan ibadat-ibadat lain seperti sentiasa mengadakan Qiamullail, solat sunat tahajud, berwirid sehingga menjelang Subuh dan sebagainya.

Beliau pernah bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Sungai Hj. Mohamad sejauh dua kilometer dengan berjalan kaki dari rumahnya. Namun, pengajiannya di situ tidak dapat ditamatkan yang disebabkan wujudnya gangguan dari anak-anak nakal di sekolah tersebut.

Pernah terjadi beliau dikepung dan dibelasah sehingga pengsan tanpa sebab musabab yang pasti, dan berandaian bahawa hal tersebut disebabkan beliau berketurunan suku Jawa.

Sejak peristiwa yang menakutkan itu, beliau berhenti belajar di sekolah tersebut dan belajar di rumah dengan diajar oleh bapanya sendiri. Tumpuan beliau ialah mempelajari kitab-kitab agama, antaranya kitab Kifayatul Awam Safinatun Najah dan lain-lain dengan menggunakan bahasa Jawa yang ada makna gantung.

Ketika remaja pula, Kiai Haji Mohd. Yasin Thoha dihantar ke pondok di Langgar, Kedah dan seterusnya ke pondok Tok Kenali di Kelantan. Bahkan pernah diceritakan bahawa beliau juga belajar di salah sebuah pesantren di Tanah Jawa.

Setelah beberapa tahun menuntut di pondok, beliau kembali ke Kampung Sungai Batang membantu ayahnya mengajar di Surau Assyafiyah yang diasaskan oleh Haji Shafie bin Haji Nor, Ketua Kampung pertama Kampung Sungai Batang.

Selain pengajian pondok, Kiai Mohd. Yasin Thoha juga mengajar di sekolah yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak kampung. Ketika itu, kebanyakan anak muridnya juga datang dari Perak dan ramai juga datang dari Sungai Tengar, Kampung Sepang, Bukit Bangkong di Selangor. Bahkan pada tahun 1937, beliau lulus dalam ujian mengambil tauliah mengajar agama yang dikurniakan oleh Sultan Perak pada ketika itu.

Setelah memiliki tauliah mengajar agama, beliau bertambah aktif dalam menyebarkan agama Islam di Kampung Sungai Batang. Selain itu juga, beliau turut melakukan pekerjaan lain, iaitu bekerja sebagai buruh kepada abang iparnya, dengan menghimpun dan mengait buah kelapa sebagai sumber pendapatan.

Beliau juga banyak melibatkan diri dalam aktiviti sukan bersama belia-belia seperti bermain bola, layang-layang dan lain-lain.

Rakan-rakan seperjuangan

Antara tokoh agama seperjuangan yang seangkatannya ialah Tuan Guru (Dato') Haji Ghazali Batu 26, Tuan Guru Hj. Abd. Rahman Bagan Datoh, Tuan Guru Kiai Radin Haji Siraj Sungai Nipah Darat, Tuan Guru Hj. Abdullah Sungan Nipah Baroh, Tuan Guru Hj. Abbas Sungai Tiang Darat, Tuan Guru Haji Masduki, Tuan Guru Haji Radzi Selekoh, Tuan Guru Sheikh Hj. Arshad (al-Hafiz) Batu 20, Tuan Guru Sheikh Zubir Kuala Kangsar, Tuan Hj. Adnan Tanjung Bayan dan ramai lagi.

Kiai Mohd. Yasin Thoha bersama sahabat-sahabat beliau tersebut adalah tonggak yang ampuh dan kukuh terutama ketika negara dalam ancaman komunis yang melakukan keganasan kepada masyarakat di sekitar Bagan Datoh pada tahun 40-an. Mereka sentiasa mengadakan rundingan demi rundingan sekiranya ada tanda-tanda pihak pengganas akan melakukan serangan dan kekacauan di kawasan mereka.

Diceritakan juga ketika kumpulan pengganas membuat cubaan untuk menyerang rumah mereka, tetapi tidak berjaya kerana pengganas tidak dapat melihatnya bahkan ada yang ternampak rumah-rumah Tok Guru tersebut, tetapi kelihatan seperti ada sungai yang merintangi, ada yang terletak seperti sebuah pulau dan rumah-rumah tersebut dikelilingi air.

Perkara sedemikian adalah sangat menghairankan bagi orang awam, tetapi bagi seorang ulama yang beramal dan bertawakal perkara tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi adalah suatu karamah yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.

Peranan dalam menjaga keselamatan

Peranan beliau bersama sahabat-sahabat seperjuangan amat berat terutama ketika negara dilanda darurat. Mereka menjadi tumpuan masyarakat Islam yang tersepit antara ancaman pihak komunis dan pihak penjajah Jepun. Mereka yang menyebelahi komunis, akan diculik pada waktu malam dan ada yang mati dibunuh dan sebagainya.

Kiai Mohd. Yasin Thoha berserta kader-kader yang dilatih oleh Tuan Syed Idris ditangkap oleh pihak berkuasa kerana disyaki melakukan pemberontakan, tetapi akhirnya dibebaskan setelah diketahui bahawa gerakan mereka tidak mendatangkan bahaya terhadap keselamatan negara.

Menyentuh mengenai Tuan Syed Idris tersebut, iaitu sahabat setia Kiai Mohd. Yasin Thoha terutama dalam bidang ilmu kebatinan. Dalam tahun 1946, menurut anak Kiai sendiri, iaitu Haji Mohd. Arif Zaki Bin Hj Mohd Yasin pernah menyaksikan kehebatan Tuan Syed Idris dalam ilmu kebatinan tersebut di depan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam peristiwa tersebut, Tuan Syed Idris datang dengan sebuah kereta yang membawa selaras senapang patah dan seekor ayam. Kemudiannya ayam itu diikat dengan azimat kain merah diletakkan di hadapan kedai. Dengan jarak 10 meter, ayam tersebut diacukan lantas dipetik senapang yang berisi peluru tetapi tidak meletup, yang keluar hanya asap dari muncung senapang tersebut diiringi beberapa butir peluru.

Apabila azimatnya diambil, senapang itu dipetik lalu meletup dan ayam itu mati. Selepas itu, Tuan Syed Idris beredar. Menurut Haji Mohd. Arif Zaki, beliau sendiri tidak mengetahui motif Tuan Syed Idris melakukan sedemikian, tetapi berpendapat ia sekadar menakutkan pihak tertentu terutamanya di kalangan pengganas.

Kembali ke rahmatullah

Pada saat-saat hampirnya pemergian Kiai Mohd. Yasin Thoha, beliau disyaki mengidap penyakit kanser dalam perut. Beberapa hari beliau menderita sakit, tetapi beliau tetap tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital. Beliau hanya mendapat rawatan daripada seorang doktor swasta di rumah.

Sehari sebelum pemergiannya, beliau meminta anaknya menuliskan kalimah tauhid Lailahaillallah besar-besar dan dilekatkan pada dinding menghala ke muka beliau. Setelah itu, beliau hanya menumpukan pandangan ke arah tulisan tersebut sahaja, di samping menahan kesakitan.

Akhirnya pada Selasa, 3 Oktober 1978, beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 petang. Beliau dikebumikan di perkuburan Orang Islam Kampung Sungai Batang Baroh pada pukul 4 petang hari Rabu. Semoga pemergian beliau dicucuri rahmat dan keampunan daripada-Nya.



sumber: Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Seguir leyendo...

Anda Pengunjung Ke

Free Counters